Sistem SPSKB 3.0 permudah proses agihan saham khas Bumiputera

LocalBusiness & Finance
10 Sep 2026 • 3:40 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sistem SPSKB 3.0 permudah proses agihan saham khas Bumiputera

KUALA LUMPUR – Sistem Peruntukan Saham Khas Bumiputera (SPSKB) 3.0 yang bakal dilancarkan 18 September ini dijangka memudahkan proses pengagihan saham khas kepada pelabur Bumiputera apabila syarikat melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO).

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pembangunan sistem itu penting bagi memastikan maklumat berkaitan pelabur dan proses permohonan dapat diuruskan secara lebih tersusun dalam satu sistem bersepadu.

Menurut beliau, sistem berkenaan turut membolehkan proses semakan dibuat dengan lebih mudah, terutama apabila melibatkan syarikat yang mahu disenaraikan di Bursa Malaysia.

“Apabila mana-mana syarikat nak pergi IPO, kita terpaksa fokus kepada pelabur-pelabur Bumiputera. Sebelum ini, banyak proses dan maklumat yang perlu diuruskan.

“Jadi apa yang kita buat sekarang, semua maklumat yang berkaitan dimasukkan dalam sistem. Ini memudahkan proses semakan dan pengurusan,” katanya pada sidang akhbar pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Dewan Tun Razak, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini.

Johari berkata, SPSKB 3.0 turut merangkumi pelbagai kategori pelabur Bumiputera, termasuk yayasan, syarikat dan individu.

“Yang paling senang, semua kategori ini termasuk yayasan, syarikat-syarikat dan individu yang nak mengambil bahagian dalam IPO, semuanya ada dalam sistem. Sistem ini boleh membuat semakan dan kita dapat tahu dengan lebih jelas siapa yang memohon dan perkara berkaitan,” katanya.

Sementara itu, status pembangunan semula SPSKB 3.0 kini mencapai 95.08 peratus dan dijangka Go Live pada 18 September 2026.

Sistem baharu itu dibangunkan menggunakan kerangka teknologi terkini dengan fungsi kecerdasan buatan (AI) serta teknologi awan bagi meningkatkan kecekapan, kestabilan dan keselamatan sistem.

SPSKB 2.0 sebelum ini mula digunakan secara digital sepenuhnya pada 6 Disember 2021, termasuk integrasi dengan Sistem myIDENTITY Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi mengesahkan status Bumiputera pemohon.

Sehingga 7 September lalu, seramai 79,603 pelabur telah berdaftar melalui SPSKB MITI, terdiri daripada 78,432 individu, 992 syarikat, 95 koperasi, 52 yayasan dan 32 Institusi Amanah Keutamaan.

SKB MITI memperuntukkan 12.50 peratus daripada modal saham diperbesarkan syarikat kepada pelabur Bumiputera bagi memenuhi syarat keperluan ekuiti Bumiputera ketika penyenaraian di Bursa Malaysia.

Dengan SPSKB 3.0, MITI turut menyediakan saluran alternatif menerusi aplikasi mudah alih bagi memudahkan pelabur mendaftar dan membuat permohonan SKB secara lebih pantas dan selamat. – KOSMO! ONLINE.

The post Sistem SPSKB 3.0 permudah proses agihan saham khas Bumiputera appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved