SPSKB 3.0 mudahkan pengagihan saham khas Bumiputera

LocalBusiness & Finance
10 Sep 2026 • 3:37 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: SPSKB 3.0 mudahkan pengagihan saham khas Bumiputera

KUALA LUMPUR: Sistem Peruntukan Saham Khas Bumiputera (SPSKB) 3.0 yang bakal dilancarkan pada 18 September ini dijangka memudahkan proses pengagihan saham khas kepada pelabur Bumiputera apabila syarikat melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO).

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, sistem baharu itu dibangunkan bagi menyusun semua maklumat berkaitan pelabur dan permohonan saham khas Bumiputera dalam satu sistem bersepadu.

Beliau berkata, langkah itu sekali gus memudahkan proses semakan serta pengurusan permohonan, khususnya bagi syarikat yang mahu disenaraikan di Bursa Malaysia.

“Apabila mana-mana syarikat hendak pergi IPO, kita terpaksa fokus kepada pelabur-pelabur Bumiputera. Sebelum ini, banyak proses dan maklumat yang perlu diuruskan.

“Jadi apa yang kita buat sekarang, semua maklumat yang berkaitan dimasukkan dalam sistem. Ini memudahkan proses semakan dan pengurusan,” katanya dalam sidang akhbar sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Dewan Tun Razak, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.

Tambah Johari, SPSKB 3.0 turut merangkumi pelbagai kategori pelabur Bumiputera termasuk yayasan, syarikat dan individu yang berminat mengambil bahagian dalam IPO.

“Yang paling senang, semua kategori ini termasuk yayasan, syarikat-syarikat dan individu yang hendak mengambil bahagian dalam IPO, semuanya ada dalam sistem.

“Sistem ini boleh membuat semakan dan kita dapat tahu dengan lebih jelas siapa yang memohon dan perkara berkaitan,” katanya.

Mengulas lanjut, Johari berkata, sistem terbaharu itu berupaya mengelakkan sebarang manipulasi atau pintasan maklumat oleh pihak tertentu.

“Maknanya, tiada sesiapa yang boleh memotong barisan atau mengubah apa-apa maklumat yang sudah dihantar.

“Setiap pemohon akan mengetahui secara tepat jumlah yang mereka peroleh, sama ada satu lot, 1,000 unit saham atau 2,000 unit saham. Semua keputusan itu ditentukan sepenuhnya oleh sistem yang kita perkenalkan ini,” katanya.

Katanya, setakat ini terdapat kira-kira 79,000 pendaftaran di bawah MITI yang merangkumi pelbagai kategori termasuk yayasan, koperasi, syarikat berstatus Bumiputera serta pelabur individu Bumiputera yang memohon IPO.

“Jadi mereka hanya perlu log masuk ke dalam sistem dan tunggu jawapan dengan menyemak keputusan menerusi sistem berkenaan.

“Portal baharu berkenaan dijadualkan bakal dilancarkan secara rasmi pada 18 September ini,” katanya. – UTUSAN

The post SPSKB 3.0 mudahkan pengagihan saham khas Bumiputera appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved