
KUALA LUMPUR — Nama Siti Nurhaliza sememangnya tidak asing sebagai ikon muzik tanah air, namun siapa sangka pesonanya turut berjaya mencuri perhatian bintang antarabangsa sejak awal kemunculannya di pentas dunia.
Tular di media sosial satu pendedahan oleh pengurus kepada Biduanita Negara, Rozi Abdul Razak, yang berkongsi kisah menarik melibatkan Chester Bennington ketika Siti membuat persembahan di Thailand suatu ketika dahulu.
Menurut Rozi, vokalis kumpulan Linkin Park itu pernah menghantar sepucuk surat bersama sehelai topi kepada Siti, satu momen yang kini kembali mencuri perhatian ramai.
Apa yang lebih mencuit hati, Siti sendiri dikatakan sempat berseloroh:
“Penyanyi Linkin Park tu bukan Eminem ke?”
Reaksi spontan itu terus menghiburkan peminat, dengan ramai menyifatkan momen tersebut sebagai “comel tak boleh bawak bincang”.
“Bukan artis tempatan je minat, antarabangsa pun sama”
Dalam masa sama, satu lagi perkongsian netizen turut mengimbau kembali zaman kegemilangan Siti di pentas antarabangsa.
Menurut individu tersebut, selain kumpulan Blue yang dikatakan tidak berhenti bergambar dengan Siti di belakang pentas MTV sekitar 2003, rupa-rupanya Chester juga antara yang menunjukkan minat.
Katanya:
“Kiranya masa muda Siti ni, bukan jadi kegilaan lelaki Melayu je… boyband international pun ya.”
Malah di ruangan komen, ramai turut berkongsi rasa teruja dan kagum, ada yang berseloroh ingin melihat sendiri surat tersebut, selain memuji pesona Siti yang disifatkan mampu “menawan hati sesiapa sahaja”, termasuk peminat antarabangsa.
Tidak kurang juga yang mengaku cemburu secara bersahaja, lebih-lebih lagi dalam kalangan peminat Chester Bennington sendiri.
Aura Siti memang lain macam
Kisah lama ini sekali lagi membuktikan bahawa aura Siti Nurhaliza bukan sekadar fenomena tempatan, malah turut mendapat perhatian bintang antarabangsa.
Untuk rekod, Siti Nurhaliza memang pernah mencipta sejarah apabila memenangi Anugerah Persembahan Terbaik Asia Tenggara di MTV Asia Awards 2003 di Singapura, sekali gus meletakkan namanya sebaris artis terkenal rantau ini. – The Malaysian Update
The post “Siti Ingat Chester Tu Eminem?” — Kisah Lama Kembali Tular, Bukti Aura Siti Nurhaliza Pernah Menarik Perhatian Artis Antarabangsa appeared first on The Malaysian Update.



