Siti Nurhalizah buat 5 kerja sampingan sebelum bergelar guru

21 Sep 2026 • 4:19 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Siti Nurhalizah buat 5 kerja sampingan sebelum bergelar guru

PETALING JAYA – Pernah mengambil upah mencuci pinggan di majlis perkahwinan, bekerja di kedai makan dan menggantikan ibunya sebagai pengawal keselamatan antara liku kehidupan dilalui seorang wanita sebelum impiannya bergelar guru menjadi kenyataan.

Siti Nurhalizah Sabri, 27, tidak dapat menyembunyikan rasa syukur selepas menerima khabar bahawa dia berjaya dalam temuduga bagi jawatan guru selepas menyemak keputusannya Jumaat lalu.

Menurutnya yang berasal dari Tuaran, Sabah, dia kini hanya menunggu maklumat mengenai penempatan yang dijangka diketahui pada Disember depan dan bersedia ditempatkan di mana-mana sahaja termasuk di Semenanjung.

“Perasaan saya susah sangat nak digambarkan. Alhamdulillah, saya sangat bersyukur apabila melihat semula perjalanan saya dari dulu sampai sekarang dan banyak perkara yang saya lalui. Ibu bapa saya pun sangat terharu dan gembira.

“Semua pengalaman itu banyak mengajar saya mengenai erti bekerja keras dan berdikari. Saya sudah berniat untuk menjadi pendidik, jadi saya bersedia ditempatkan di mana-mana sahaja,” katanya ketika dihubungi Kosmo!

Anak kelima daripada lapan beradik itu berkata, semangat untuk menjadi pendidik turut dipengaruhi keluarganya apabila dua kakaknya turut menceburi bidang perguruan.

Katanya, ibunya juga sentiasa menekankan kepentingan pendidikan kepada anak-anak kerana menganggap ilmu sebagai ‘harta’ paling berharga yang mampu diberikan kepada mereka.

“Ibu selalu pesan pendidikan inilah harta yang dia boleh beri kepada kami kerana keluarga kami bukan orang senang. Sebab itu kami perlu belajar bersungguh-sungguh kerana ilmu inilah yang boleh membantu kehidupan kami pada masa depan.

“Selain ibu, kakak kedua saya yang merupakan guru juga banyak bantu kami adik-beradik, jadi tulang belakang kami selain ayah. Sebab itu saya mahu ikut jejak langkah dia,” katanya.

Bercerita lanjut, Siti Nurhalizah yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Kewangan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kota Kinabalu berkata, antara pengalaman paling memberi kesan kepadanya adalah ketika terpaksa menggantikan ibunya bekerja sebagai pengawal keselamatan selepas wanita itu dimasukkan ke hospital akibat sakit jantung.

Katanya, pekerjaan tersebut dilakukan supaya pendapatan ibunya dapat diteruskan selain bapanya yang meraih pendapatan sebagai pembantu am di UiTM Kota Kinabalu.

Selain menjadi pengawal keselamatan, dia pernah mengambil upah mencuci pinggan di majlis perkahwinan di kampung, bekerja di kedai makan, menjual bunga di pasar Tuaran serta menjadi pekerja pembersihan.

“Saya pernah buat macam-macam kerja terutama ketika cuti semester. Semua itu menjadi pengalaman yang sangat berharga. Apabila saya dapat tahu berjaya dalam temuduga sebagai guru, segala pekerjaan sementara dan perjalanan yang saya lalui sebelum ini terasa berbaloi.

“Justeru saya bukan mahu menjadi guru sekadar untuk mengajar, tetapi saya mahu menjadi seseorang yang boleh memberi semangat kepada murid, terutama mereka yang datang daripada keluarga susah seperti kami,” katanya.

Bertanya mengenai namanya yang mirip penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, wanita itu berkata, nama berkenaan diberikan ibunya yang sememangnya meminati penyanyi tersohor tersebut.

Menurutnya, ibunya gemar memberikan nama anak-anak bersempena nama artis yang diminatinya, manakala namanya dipilih kerana mengagumi personaliti dan perwatakan Biduanita Negara itu.

“Dulu saya segan juga sebab kawan-kawan selalu usik nama saya sama dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza.

“Tapi lama-lama saya anggap nama itu sebagai satu doa daripada ibu bapa saya,” katanya.

Sementara itu, Siti Nurhalizah turut berpesan kepada golongan muda supaya tidak menjadikan kekurangan atau kesusahan hidup sebagai alasan untuk berhenti mengejar impian.

“Jangan mudah mengalah. Kadang-kadang perjalanan kita memang tidak mudah, ada masa kita penat, kecewa dan rasa usaha kita tidak ke mana.

“Mungkin hari ini kita sedang berjuang, tetapi satu hari nanti kita akan pandang semula perjalanan itu dan berkata, nasib baik dulu saya tidak pernah mengalah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Siti Nurhalizah buat 5 kerja sampingan sebelum bergelar guru appeared first on Kosmo Online.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved