Sivakumar: KSM sasar capai 90% tahap Indeks Keharmonian Perusahaan

13 Jul 2023 • 3:11 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

IPOH: Kementerian Sumber Manusia (KSM) menyasarkan tahap Indeks Keharmonian Perusahaan (IHI) di negara ini mencapai lebih 90 peratus bagi mencapai status cemerlang tahun depan.

Menterinya V. Sivakumar (gambar) berkata laporan IHI yang dikemukakan setiap dua tahun menunjukkan skor terbaharu diperoleh di peringkat nasional ketika ini adalah baik iaitu 78.9 peratus.

Beliau berkata laporan itu menunjukkan bahawa prestasi negeri Perak adalah yang tertinggi di seluruh negara dengan mencatatkan pencapaian 82.6 peratus pada 2022, meningkat berbanding 80.3 peratus pada tahun 2020.

“Tahap baik bermula daripada 70 sehingga 89 manakala tahap cemerlang pula 90 ke atas. Laporan terbaharu merupakan satu pencapaian yang baik dan saya berharap pencapaian ini meningkat untuk negeri Perak dan juga untuk semua negeri-negeri yang lain,“ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Simposium Keharmonian Perusahaan Negeri Perak Tahun 2023 bertemakan ‘Mencorakkan Masa Depan Keharmonian Perusahaan Melalui Perundangan’ yang disertai 110 syarikat di sini hari ini.

Sivakumar berkata penilaian IHI yang dibangunkan sebagai instrumen bagi mengukur keharmonian perusahaan supaya dapat menarik pelabur asing dibuat berdasarkan lima kriteria.

Menurutnya kriteria itu dinilai dari aspek kerjasama antara pekerja dan majikan, hubungan saling berdamai, bertanggungjawab, keterhubungan dan saling memerlukan.

“Kajian kita mendapati sektor perladangan dan pertanian adalah sektor yang tertinggi, dan mungkin kita boleh kaitkan kerana sektor ini ada Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO), yang perlu dipatuhi untuk mencapai standard antarabangsa,“ katanya. -Bernama