Salah satu pengeluar komponen cip memori terbesar di dunia, SK Hynix yang kini telah mengatasi Samsung Electronics sebagai syarikat paling bernilai di Korea Selatan dilaporkan tidak lagi akan menambah tampungan kapasiti pengeluaran memori HBM yang digunakan untuk menguasakan perkakasan-perkakasan pusat data AI yang tiada penghujungnya buat masa ini.
Laporan daripada Chosun Biz mengatakan bahawa 40 peratus daripada pendapatan SK Hynix sebelum ini hadir secara khusus melalui pengeluaran cip memori HBM mereka, yang mana syarikat tersebut merupakan pengeluar terbesar komponen HBM3E dan kelak, HBM4.
Untuk memori HBM4 khususnya, SK Hynix dilihat akan menjadi pembekal memori utama untuk platform pemprosesan AI Rubin. Walaupun begitu, tidak banyak platform lain yang akan menggunakan memori tersebut, dan bekalan HBM3E sedia ada yang dikeluarkan mereka mencukupi untuk keperluan memori AI syarikat-syarikat lain buat masa ini.

Oleh kerana ini, SK Hynix turut dilaporkan akan memfokuskan kembali kepada pengeluaran komponen DRAM untuk perkakasan dan peranti-peranti elektronik pengguna, termasuklah memori DDR5 yang masih dilihat sangat mahal untuk pasaran pengguna.
Laporan tersebut mengatakan lagi bahawa eksekutif SK Hynix telah melihat kepada julat keuntungan yang diperlihatkan oleh Samsung Electronics yang dilihat sangat tinggi kerana tiada syarikat pengeluar memori yang dilihat membekalkan komponen DRAM yang mencukupi untuk pasaran pengguna setelah mereka semua berpindah mengeluarkan memori HBM dan GDDR untuk syarikat-syarikat AI.
Ini bermakna bahawa kelak, kita mungkin akan memperlihatkan komponen RAM untuk komputer, komputer riba dan peranti pintar kembali pulih seperti biasa, tetapi sama ada kita akan memperlihatkan penawaran harga memori yang murah sebelum insiden “RAMpocalypse” tidak diketahui lagi.
Isu bekalan RAM untuk pengguna biasa dapat dilihat bukan sahaja dari kesukaran untuk mendapatkan bekalan komponen ini, tetapi juga dari segi harga yang cukup mahal sekali. Harapan ramai ialah harga memori boleh turun kembali ke paras sebelum pertengahan tahun lepas apabila ia tidak terlalu mahal, tetapi jangkaannya ialah penurunan harga komponen tersebut mungkin tidak akan begitu tinggi.
Sumber: Chosun Biz


