Memori GDDR7 terbaru nampaknya akan digunakan secara lebih meluas tidak lama lagi, dengan SK hynix merupakan syarikat pembangun cip memori dan storan terbaru yang mengumumkan pengeluaran cip memori mereka sendiri.
Syarikat tersebut mengatakan bahawa cip memori GDDR7 keluaran mereka hadir dengan kelajuan penghantaran data 32Gbps, jauh lebih pantas berbanding memori GDDR6 sebelum ini yang hadir dengan kelajuan 24Gbps. SK hynix juga mengatakan bahawa memori baru ini adalah 50 peratus lebih cekap dari segi penggunaan tenaga elektrik berbanding GDDR6.

Apabila dipadankan pada kad grafik berkuasa tinggi, SK hynix berkata memori mereka boleh memproses data pada kadar 1.5TB sesaat, yang boleh dibandingkan dengan 300 video filem pada saiz 5GB setiap saat.
SK hynix turut mengatakan dengan kemajuan tenologi pempakejan memori, kelajuan penghantaran data cip memori GDDR7 mereka boleh meningkat ke 40Gbps di masa akan datang.
Mereka turut mengatakan bahawa pengeluaran besar-besaran akan dilakukan pada suku ketiga tahun ini. Akan tetapi mereka tidak mengatakan siapakah yang sedang menguji memori ini, tetapi jangkaan kami ialah ia merupakan syarikat-syarikat pembangun teknologi yang biasa seperti AMD dan NVIDIA.
Dalam pada itu, SK hynix juga mengatakan bahawa memori GDDR7 ini bukan sahaja akan digunakan pada kad grafik pengguna semata-mata. Ia juga akan dmanfaatkan oleh industri automotif, syarikat-syarikat pembangun komputer berprestasi tinggi, pusat data dan sebagainya kelak.
