SK Pasir Puteh Keningau muncul sekolah pertama laksana Kempen Internet Selamat di Sabah

LocalTechnology
14 Jul 2025 • 5:59 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

SK Pasir Puteh Keningau muncul sekolah pertama laksana Kempen Internet Selamat di Sabah

image is not available

14/07/2025 - 17:59

Kempen Internet Selamat dirasmikan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching di SK Pasir Pueth, Keningau di Sabah hari ini Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 14 Julai - Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Puteh dekat Keningau melakar sejarah menjadi sekolah rendah pertama yang melaksanakan modul keselamatan internet di Sabah seiring usaha memperkasa literasi digital dalam kalangan pelajar luar bandar.

Kempen ‘Internet Selamat, Murid Selamat’ itu adalah kolaborasi antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), serta rakan strategik dari sektor teknologi dan keselamatan siber.

MCMC dalam kenyataannya berkata, modul itu adalah contoh terbaik dalam aplikasi internet yang mengutamakan keselamatan pengguna cilik dalam jaringan internet tanpa sempadan.

“Kempen ini selari dengan Pelan Tindakan Literasi Digital Nasional dan matlamat memperkasa generasi digital yang bertanggungjawab menjelang 2030.


“Modul khas yang direka khusus untuk murid berumur 7 hingga 9 tahun itu bertujuan meningkatkan kefahaman mereka tentang penggunaan internet secara umum, fungsi aplikasi Internet serta memberi kesedaran tentang risiko dan ancaman dalam talian.

“Pelaksanaan awal modul akan dinilai dari segi impak dan keberkesanan, sebelum diperluas ke sekolah-sekolah lain di Sabah dan seterusnya seluruh negara,” kata MCMC.

image is not available

image is not available

Pelancaran Program Kempen Internet Selamat (KIS) yang disertai 120 murid Tahun 1 hingga Tahun Tiga itu dirasmikan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, hari ini.

Sementara itu, Guru Besar sekolah tersebut, Norlida Bungsu berkata, program itu memberi peluang kepada murid untuk membina kemahiran asas keselamatan digital sejak peringkat awal persekolahan.

“Dengan capaian internet yang semakin meluas termasuk di kawasan pedalaman, adalah penting untuk murid bukan sekadar celik teknologi tetapi juga bijak dan selamat menggunakannya.

“Antara yang diketengahkan dalam KIS ialah kesedaran tentang bahaya penggunaan Internet secara tidak terkawal serta galakan untuk meneroka aktiviti alternatif yang lebih positif.

“Pendekatan ini diharap dapat membantu pelajar memahami asas literasi digital, mengenali risiko buli siber serta mempelajari cara menggunakan Internet dengan selamat,” katanya. - DagangNews.com

standard