Skandal 1MDB: Roger Ng Dijatuhi Hukuman Penjara 10 Tahun

Politics
10 Mar 2023 • 10:15 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Roger Ng - Gambar daripada headtopics.com

NEW YORK - Hakim di New York, Amerika Syarikat semalam, menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap mantan jurubank Goldman Sachs, Roger Ng, susulan didapati bersalah berhubung skandal rasuah 1MDB.

Juri New York pada April tahun lalu mendapati Ng bersalah dalam skim yang membabitkan dana pelaburan Malaysia milik kerajaan 1MDB, selepas mendengar keterangan daripada Tim Leissner, seorang lagi bekas bank Goldman Sachs dan konspirator bersama.

Jumlah perampasan akan ditentukan kemudian, kata Jabatan Kehakiman menerusi kenyataan media.

“Roger Ng ialah pemain utama dalam skim itu yang bukan sahaja menganiaya rakyat Malaysia, tetapi berisiko menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap kerajaan, pasaran, perniagaan dan institusi lain pada skala global.

“Hukuman hari ini adil untuk jenayah defendan dan amaran bahawa terdapat ‘harga mahal’ untuk membayar perbuatan rasuah korporat,” kata peguam AS, Breon Peace

Dana 1MDB ditubuhkan untuk menggalakkan ekonomi Malaysia, tetapi disalah guna dalam skandal yang ‘menggegarkan’ politik negara dan mencemarkan reputasi Goldman.

Ng dan rakan kongsinya membayar lebih AS$1 bilion (RM4.52 bilion) sebagai rasuah kepada pegawai kerajaan untuk mendapatkan tiga transaksi bon besar untuk Goldman dengan 1MDB, menurut Jabatan Kehakiman (DoJ) AS.

DoJ berkata, sebahagian daripada wang itu disalurkan kepada barangan mewah, seperti lukisan Jean-Michael Basquiat bernilai $51 juta dan jutaan dolar untuk beg tangan Hermes.

Leissner, yang mengaku bersalah pada Ogos 2018 atas dua pertuduhan jenayah, sedang menunggu hukuman, kata DoJ.

DOJ berkata, konspirator ketiga bersama Low Taek Jho, masih bebas.

Pada Oktober 2020, Goldman bersetuju untuk membayar penalti AS$2.9 bilion dalam penyelesaian DoJ yang termasuk pengakuan bersalah di mahkamah AS oleh unit bank Malaysia. - AFP, 10 Mac 2023