Skandal Auto: Neta & Zeekr Manipulasi Jualan Dengan 'Kereta Terpakai 0 Kilometer'?

WorldCars
22 Jul 2025 • 2:15 PM MYT
Carz Automedia
Carz Automedia

Latest automotive news & review in one place.

image is not available

image is not available

Dua pengeluar kenderaan elektrik (EV) dari China, Neta dan Zeekr, kini sedang disiasat kerana didakwa memanipulasi angka jualan mereka dengan menginsuranskan kenderaan yang belum terjual, seterusnya membolehkan kenderaan tersebut dikira sebagai 'telah diserahkan' mengikut peraturan pelaporan China.

Taktik 'Kereta Terpakai 0 Kilometer' Tegang Pasaran EV China

Menurut sumber industri dan laporan Reuters, Neta menggunakan kaedah ini ke atas lebih 64,000 kenderaan dari Januari 2023 hingga Mac 2024, mewakili lebih separuh jumlah jualan yang dilaporkan. Zeekr, milik Geely, turut dikatakan menjalankan modus operasi serupa melalui pengedar utama jenama tersebut di Xiamen pada akhir 2024.

image is not available

Kenderaan yang dikenali sebagai “kereta terpakai 0 kilometer” ini didaftarkan dan diinsuranskan sebelum dijual kepada pembeli sebenar. Praktik ini wujud kerana persaingan sengit dan lebihan kapasiti pengeluaran di pasaran EV China.

Sebagai langkah menangani isu ini, pihak berkuasa berhasrat mengenakan larangan terhadap penjualan semula kenderaan ini dalam tempoh enam bulan selepas pendaftaran. Ini bertujuan membendung manipulasi angka jualan serta memastikan integriti data pasaran EV.

Neta & Zeekr Disiasat

image is not available

Neta dikatakan sudah mula membuat ‘pra-insurans’ ke atas kenderaan yang belum terjual seawal tahun 2022 untuk layak menerima subsidi EV yang bakal tamat tempoh.

Tindakan ini membuatkan ramai pembeli tidak menyedari bahawa insurans kenderaan mereka sudah bermula, dan hanya sedar apabila polisi insurans tamat lebih awal daripada jangkaan. Sebilangan besar daripada kenderaan ini dilaporkan masih tersimpan dalam gudang pengedar.

Zeekr pula mencatatkan lonjakan jualan luar biasa di Xiamen pada Disember 2024 dengan tempahan lebih 2,700 unit, tetapi kurang daripada 300 unit didaftarkan untuk mendapatkan nombor plat. Beberapa kenderaan kemudian dijual ke bandar lain dengan harga diskaun dan insurans yang telah diaktifkan terlebih dahulu.

Penjelasan Zeekr

Dalam kenyataan pada 19 Julai, Zeekr menafikan sebarang salah laku. Mereka menjelaskan kenderaan yang dimaksudkan hanyalah unit pameran yang tidak pernah dibayar atau dijual secara rasmi. Walaupun kenderaan ini dilindungi insurans jalan raya semasa dipamerkan, ia tetap diklasifikasikan sebagai kenderaan baharu mengikut undang-undang.

Zeekr juga menjelaskan mereka menjual unit-unit pameran tersebut pada harga diskaun selepas 3 hingga 5 bulan dalam simpanan, dengan pendedahan sepenuhnya kepada pembeli. Pembeli dikatakan masih memperoleh segala manfaat dan jaminan sebagai pemilik pertama. Syarikat turut menegaskan bahawa mereka menolak sebarang tindakan yang boleh mencemaarkan persaingan yang adil.