
MERSING – Rahsia skandal rakan sekerja antara lelaki berstatus suami orang dengan wanita bujang akhirnya terbongkar selepas mereka ditangkap khalwat di sebuah pusat peranginan mewah di daerah ini tengah malam tadi.
Pasangan yang bekerja di Johor Bahru dan berusia 20-an itu ditahan pukul 12.20 tengah malam selepas mereka gagal mengemukakan dokumen pernikahan sah ketika pemeriksaan oleh penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).
JAINJ dalam kenyataan berkata, sebaik tiba di bilik di pusat peranginan terbabit, pihaknya menekan loceng bilik sebelum dibuka dua minit kemudian oleh seorang lelaki berseluar panjang dan berbaju-T.
Katanya, pemeriksaan di dalam bilik berkenaan menemukan seorang wanita yang memakai pakaian lengkap sedang duduk di atas katil.
“Ketika soal siasat awal, lelaki berkenaan mendakwa wanita berkenaan ialah isterinya tetapi tidak membawa surat nikah.
“Taktik itu akhirnya terbongkar selepas penguat kuasa mengasingkan kedua-duanya. Lelaki berkenaan tetap mendakwa sudah bernikah, manakala wanita terbabit mengaku sebaliknya,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, siasatan mendapati lelaki itu menaiki kereta dari Johor Bahru ke Mersing bersama wanita berkenaan sebelum menyewa di pusat peranginan berkenaan.
Ketika ditanya sama ada bercadang untuk bernikah, kedua-duanya hanya mendiamkan diri.
“Pasangan itu ditangkap mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor. Wanita itu dijamin oleh ahli keluarganya sementara menunggu tarikh perbicaraan di Mahkamah Syariah, manakala lelaki dijamin oleh isterinya sendiri,” katanya.
JAINJ menegaskan, pihaknya hanya menjalankan tugas menguatkuasakan undang-undang dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes khalwat boleh menghubungi talian 07-2076429 dan identiti pengadu akan dirahsiakan.
The post Skandal pejabat akhirnya ‘kantoi’ di resort mewah Mersing appeared first on Kosmo Online.





