Skandal rasuah ADUN Sabah : Bersihkan nama di mahkamah macam saya buat – Zahid

LocalPolitics
24 Jun 2025 • 4:04 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi kepercayaan sepenuhnya terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menjalankan siasatan terhadap mana-mana individu termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah yang terlibat dalam kes dakwaan rasuah.

Menurut laporan Sinar Harian, beliau berkata SPRM bukan sahaja bertanggungjawab menjalankan siasatan, malah perlu mengemukakan bukti serta saksi yang berkredibiliti bagi membolehkan pertuduhan dibuat di mahkamah.

Skandal rasuah ADUN Sabah

image is not available

“Kita memberikan kepercayaan kepada agensi penguatkuasaan terutama SPRM, bukan hanya untuk melakukan siasatan tetapi membawa bukti saksi yang berkredibiliti dan kalau ada dua perkara itu, maka pertuduhan boleh dilakukan,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata individu yang didakwa mempunyai ruang untuk mempertahankan diri di mahkamah sekiranya mereka mempunyai bukti serta saksi bagi menolak hujahan pihak pendakwaan.

“Kalau seseorang itu mempunyai saksi dan bukti untuk menolak saksi dan juga bukti pihak pendakwaan, maka bersihkan nama di mahkamah, begitulah yang saya telah lakukan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Pemerkasaan Wanita Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini pada Selasa.

Skandal rasuah ADUN Sabah

image is not available

Terdahulu, SPRM mengesahkan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sedang disiasat berhubung kes rasuah melibatkan pengeluaran lesen cari gali di Sabah.

Salah seorang daripada ADUN berkenaan dijangka akan didakwa di mahkamah dalam masa terdekat atas dakwaan meminta dan menerima rasuah berkaitan urusan berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, seorang ADUN daripada Barisan Nasional (BN) dilaporkan telah hadir ke pejabat SPRM Sabah pada Isnin untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.

Sumber: Sinar Harian (Asyikin Asmin)