Skandal Rasuah ATM: MINDEF Lancar Reformasi Menyeluruh

LocalPolitics
28 Jan 2026 • 4:34 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan mengambil langkah drastik bagi membanteras segala bentuk rasuah, penyalahgunaan kuasa, dan pelanggaran integriti dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM). 

Memberi amaran keras, menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, prinsip akauntabiliti akan dikuatkuasakan tanpa pilih kasih, merangkumi seluruh warga tentera, termasuk barisan jeneral berpangkat tertinggi. 

Menurut beliau, mana-mana anggota yang didapati bersalah bakal kehilangan maruah sebagai pahlawan, malah mereka yang berdepan pertuduhan jenayah akan diserahkan sepenuhnya kepada sistem perundangan negara.

“Bagi kes yang melibatkan aktiviti tidak bermoral seperti budaya hedonisme dan salah laku pentadbiran, mahkamah tentera akan membuat penghakiman. 

“Apa yang jelas ialah Kementerian Pertahanan tidak akan melindungi sesiapa pun,” tegasnya pada sesi Penerangan Menteri di Dewan Rakyat hari ini. 

Jelas Mohamed Khaled, pendirian kementerian adalah sangat jelas iaitu tidak akan sesekali melindungi mana-mana pihak yang terlibat dalam perbuatan seumpama itu. 

Bercakap mengenai aspek siasatan beliau berkata, MINDEF memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi memastikan setiap proses berjalan secara telus, bebas, dan efektif. 

“Saya telah mengadakan pertemuan dengan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki pada minggu lalu bagi menzahirkan komitmen kementerian untuk bekerjasama rapat dalam menyisih amalan rasuah serta salah guna kuasa.

“Usaha untuk memulihkan kredibiliti dan kepercayaan rakyat terhadap ATM adalah keutamaan Kerajaan MADANI dan Kementerian Pertahanan. Mengenal pasti dan mendakwa mereka yang terlibat hanyalah sebahagian daripada penyelesaian. Ia tidak menjadikan kementerian itu bersih atau sempurna secara mutlak,” katanya. 

Mohamed Khalid bagaimanapun mengakui, mengheret pesalah ke muka pengadilan tidak bermakna kementerian itu sudah bebas sepenuhnya daripada kelemahan atau kehilafan secara mutlak.

Beliau menerusi sesi sama menggariskan beberapa reformasi radikal yang diumumkan dalam Perutusan Tahun Baharu 2026 kementeriannya bagi memperkukuh tadbir urus. 

“Ini termasuk semakan menyeluruh dan penyusunan semula prosedur perolehan serta pengenalan sistem digitalisasi bagi menjamin ketelusan dalam setiap projek yang melibatkan dana awam.

“Selain itu, teknologi Kecerdasan Buatan (AI) akan digunakan secara lebih meluas bagi memudahkan analisis dan ramalan dalam proses perolehan, merangkumi perbandingan kos, spesifikasi, serta penandaarasan kecekapan mengikut piawaian antarabangsa, di samping menilai kompetensi pegawai,” katanya.

MINDEF jelas beliau lagi, bakal lmelaksanakan kerangka Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG) bagi memperkukuh pengawasan serta kelestarian organisasi.

“Kesemua inisiatif tersebut bertujuan mencapai tiga objektif utama iaitu menutup ruang rasuah, meningkatkan kecekapan pengesanan risiko, dan memastikan kementerian beroperasi pada standard tertinggi melalui pemerkasaan teknologi canggih,” katanya. - Getaran, 28 Januari 2026