Skandal urus niaga saham: Bekas CEO, pengerusi syarikat disambung reman 5 hari

LocalPolitics
12 Apr 2026 • 1:26 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Bekas CEO badan berkanun dan pengerusi syarikat disambung reman lima hari untuk membantu siasatan skandal urus niaga saham. Foto SPRM

PUTRAJAYA - Dua individu iaitu bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah badan berkanun kerajaan dan seorang pengerusi sebuah syarikat pegangan dilanjut reman lima hari untuk membantu siasatan skandal urus niaga saham.

Reman sehingga 16 April itu dikeluarkan Majistret Ainul Izzati Mohd Jamili selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Ahad.

Sebelum ini kedua-dua suspek telah ditahan reman empat hari bermula Khamis lalu.

Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Tambah beliau, kes tersebut turut disiasat berkaitan kesalahan pecah amanah jenayah dan kesalahan jenayah lain yang berkaitan, khususnya di bawah kesalahan aktiviti pengubahan wang haram.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan siasatan SPRM yang mendapati wujud modus operandi penyalahgunaan kedudukan dalam urusan penjualan saham menggunakan dana awam susulan penahanan dua individu berusia lingkungan 40 dan 50-an itu.

Skandal saham itu dipercayai melibatkan penilaian harga yang tidak munasabah dan tidak setimpal yang berpotensi menyebabkan kerugian kepada dana awam dianggarkan melebihi RM300 juta.

Individu berkenaan dipercayai menetapkan terma dan harga pembelian saham serta bertindak sebagai pencadang dan pelulus dalam rundingan tertutup dengan pemegang saham minoriti, sekali gus mempunyai kawalan penuh (absolute power) dalam keseluruhan proses tersebut.

Siasatan awal SPRM turut menunjukkan elemen penerimaan rasuah dan pengubahan wang haram melalui pemindahan hasil transaksi ke entiti luar pesisir bagi menyembunyikan identiti penerima termasuk penggunaan akaun penama dan pemilik benefisial.

Siasatan turut mendapati sebahagian dana dipercayai dilaburkan semula dalam syarikat tersenarai awam di Bursa Malaysia dianggarkan kira-kira RM30 juta bagi menyamarkan aliran kewangan sebagai pelaburan sah.

Sumber dilaporkan berkata, aliran dana dikesan melibatkan enam akaun bank di Singapura dengan enam transaksi berjumlah lebih AS$48 juta, selain satu transaksi sekitar AS$3.3 juta di Labuan yang melibatkan dua pemilik benefisial syarikat yang menerima bayaran daripada dana awam.

Kata sumber, turut disiasat dua akaun bank di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dipercayai milik bekas CEO berkenaan, melibatkan kira-kira AS$10,000 dan AED37,000 (kira-kira RM80,000).

Keseluruhan aliran dana luar negara dianggarkan melebihi AS$51.3 juta dan dipercayai melibatkan syarikat yang ditubuhkan di British Virgin Islands (BVI).