Skandal urus niaga saham: SPRM geledah dua syarikat

LocalPolitics
10 Apr 2026 • 4:32 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Antara individu yang ditahan reman bagi membantu siasatan.

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggeledah dua lagi syarikat penilaian saham susulan penahanan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah badan berkanun kerajaan dan seorang pengerusi sebuah syarikat pegangan.

Menurut sumber, siasatan terkini turut mendapati penyelewengan itu dirancang dengan sistematik dan dipercayai berlaku juga transaksi keluar masuk wang ke akaun di luar negara.

"Siasatan yang dijalankan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM itu dipercayai membabitkan penilaian harga yang tidak munasabah (overvaluation) dan tidak setimpal, yang berpotensi menyebabkan kerugian kepada dana awam dianggarkan melebihi RM300 juta.

"Sehingga kini seramai 10 orang saksi telah dirakam percakapan dan dijangka tujuh orang saksi lagi akan dipanggil serta dirakam percakapan dalam masa terdekat," katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan BOK, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi memberitahu, fokus siasatan kini menjurus kepada kesalahan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009 selain kesalahan pecah amanah jenayah.

"Penyiasatan turut menganalisis dan mengenal pasti elemen-elemen kesalahan jenayah lain yang berkaitan khususnya di bawah kesalahan aktiviti pengubahan wang haram," katanya.

Terdahulu, media melaporkan akaun bank bernilai kira-kira RM450 juta dibekukan SPRM susulan penahanan dua individu berkenalan pada Rabu.

Kedua-dua individu itu disyaki bersubahat bersama beberapa ahli lembaga pengarah serta pemegang saham sebuah syarikat dalam urus niaga penjualan saham kepada badan berkanun tersebut.

Perintah reman selama empat hari sehingga 12 April terhadap kedua-dua suspek telah dikeluarkan Majistret Azeren Zakariah selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Khamis.

Menurut sumber, kedua-dua lelaki berusia lingkungan 40 dan 50-an itu ditahan kira-kira jam 6 petang ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Siasatan awal mendapati, kedua-dua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2022 hingga 2023

Selain itu, sebanyak 62 akaun bank persendirian dan akaun syarikat yang berkaitan telah dibekukan, melibatkan jumlah kira-kira RM450 juta.