
SANDAKAN: Bayaran faedah di bawah Skim Lindung 24 Jam Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi kemalangan bukan berkaitan pekerjaan mencecah RM20.23 juta, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan.
Beliau berkata skim yang mula berkuat kuasa pada 1 Jun lalu itu perlu diperluaskan hebahannya supaya lebih ramai mengetahui manfaat yang ditawarkan dan tampil mencarum.
“Di sini, kita melihat Lindung 24 Jam mampu menjadi perlindungan bagi memastikan pekerja dan keluarga mereka menerima sokongan kewangan sekiranya berlaku kemalangan.
“Musibah boleh menimpa sesiapa sahaja tanpa mengira masa, tempat atau aktiviti yang dilakukan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kenduri Rakyat i Lindung u @ Batu Sapi pada Sabtu lalu.
Di bawah skim berkenaan, pencarum layak menerima perlindungan dan beberapa manfaat tertentu sekiranya mengalami kecederaan akibat kemalangan, tertakluk kepada syarat serta kriteria kelayakan ditetapkan.
Sehingga 31 Oktober lalu, seramai 12,582 pencarum dan tanggungan layak menerima pelbagai manfaat penggantian pendapatan di bawah Lindung 24 Jam sekaligus membantu mereka meneruskan kehidupan ketika berdepan musibah.
Daripada jumlah itu seramai 373 penerima adalah dari seluruh Sabah dengan bayaran faedah melebihi RM481,000.
Khairul menggesa semua pekerja khususnya di Sabah supaya memastikan perlindungan di bawah skim berkenaan sentiasa aktif.
Beliau berkata suri rumah yang berdepan risiko kemalangan ketika melakukan aktiviti harian di luar pekerjaan formal juga berpeluang mendapat manfaat besar daripada skim itu.
Katanya program berkenaan menjadi platform penting untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai produk perlindungan dan perkhidmatan Perkeso khususnya dalam kalangan penduduk kawasan Parlimen Batu Sapi.
Pelbagai reruai Perkeso dan agensi berkaitan turut disediakan bagi memberikan maklumat mengenai perkhidmatan yang ditawarkan.
Dalam perkembangan lain Khairul berkata Elaun Bantuan Mobiliti (EBM) yang berkuat kuasa pada 1 Oktober lalu, selaras dengan komitmen Kementerian Sumber Manusia untuk merancakkan pasaran buruh menerusi Perkeso, mula memberi manfaat kepada kumpulan sasar.
Elaun itu diperkenalkan susulan pindaan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800).
Setakat ini sebanyak RM12,000 telah dibayar kepada 12 penerima yang layak sekaligus menjadi pemangkin kepada peralihan kerjaya dalam pasaran buruh yang semakin dinamik.
Beliau berkata elaun berkenaan memberi manfaat kepada orang berinsurans di bawah Akta 800 termasuk golongan muda di seluruh Sabah.
Pada majlis itu Khairul turut menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan pakaian tradisional, tarian igal-igal dan mewarna kanak-kanak, selain menyampaikan anugerah kepada persatuan belia Karamunting cemerlang.



