Belanjawan Kedah 2027 sasar kutipan hasil cecah RM850 juta – Muhammad Sanusi

LocalPolitics
16 Nov 2026 • 3:20 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Belanjawan Kedah 2027 sasar kutipan hasil cecah RM850 juta – Muhammad Sanusi Image from: Belanjawan Kedah 2027 sasar kutipan hasil cecah RM850 juta – Muhammad Sanusi amree16/11/2026 - 15:20 Gambar hiasan Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 16 Nov — Kerajaan negeri menyasarkan kutipan hasil mencecah sebanyak RM850 juta menerusi Belanjawan Kedah 2027, meningkat RM12 juta berbanding sasaran RM838 juta pada tahun ini, kata Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

 

Beliau berkata, belanjawan tersebut yang bertemakan 'The Greater Kedah: Mensejahterakan Rakyat' itu memperuntukkan sebanyak RM940 juta bagi Perbelanjaan Mengurus, sekali gus menyaksikan defisit mengurus diunjurkan sebanyak RM90 juta atau 10.59%.

 

Hasil tanah tambah beliau yang juga ADUN Jeneri itu, dijangka menjadi penyumbang terbesar kepada sasaran kutipan hasil negeri, iaitu RM551 juta, diikuti pelbagai hasil sebanyak RM253 juta, hasil hutan RM30 juta dan hasil daerah RM16 juta.

 

"Daripada keseluruhan peruntukan Perbelanjaan Mengurus, sebanyak RM81.66 juta disediakan bagi Perbelanjaan Tanggungan, manakala kira-kira RM858.34 juta diperuntukkan untuk Perbelanjaan Bekalan dan Perkhidmatan," kata Muhammad Sanusi.

 

Beliau menyatakan demikian ketika membentangkan Belanjawan Kedah 2027 dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman, di Alor Setar pada Ahad.

 

Jelas beliau, belanjawan itu turut menyediakan peruntukan pembangunan berjumlah RM401.28 juta merangkumi Kumpulan Wang Pembangunan Negeri, Kumpulan Wang Pembangunan Hutan dan Kumpulan Wang Pembangunan Bekalan Air.

 

MB Kedah_Bernama
Gambar BERNAMA

 

Daripada jumlah tersebut ujar Muhammad Sanusi, sebanyak RM245 juta diperuntukkan bagi Kumpulan Wang Pembangunan Negeri yang melibatkan 10 jabatan pelaksana, manakala kira-kira RM12.53 juta disediakan untuk pembangunan hutan.

 

"Kumpulan Wang Pembangunan Bekalan Air pula menerima peruntukan RM143.75 juta, termasuk RM138.75 juta daripada pinjaman kerajaan Persekutuan bagi pelaksanaan tiga projek pinjaman dan RM5 juta daripada peruntukan kerajaan negeri," tambahnya.

 

Jelas beliau, kerajaan negeri di wilayah Utara Semenanjung Malaysia berkenaan turut menyasarkan pengurangan defisit mengurus secara berperingkat kepada 10.59% pada 2027, berbanding 12.65% pada 2025 dan 11.81% pada 2026.

 

Kata Muhammad Sanusi, sasaran itu mencerminkan usaha memperkukuh kedudukan fiskal negeri melalui kawalan perbelanjaan, peningkatan kecekapan pengurusan dan pengoptimuman sumber hasil bagi memastikan kemampanan kewangan jangka panjang.

 

Belanjawan Kedah 2027 merupakan tahun kedua pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), dengan meneruskan agenda pembangunan negeri berteraskan Pelan Pembangunan Kedah 2035 dan The Greater Kedah 2050 bagi memastikan kemajuan ekonomi turut meningkatkan kesejahteraan rakyat. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved