
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Bermula 1 Jun lalu Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah menguatkuasakan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) atau turut dikenali sebagai LINDUNG 24 Jam di mana kadar caruman untuk skim tersebut adalah 0.75% (bagi peringkat pertama).
Pelaksanaan skim itu bagaimanapun mendapat pelbagai reaksi di kalangan orang ramai apabila ada yang menyokong dan ada juga sebaliknya.
LINDUNG 24 jam adalah perlindungan penting untuk pencarum dan keluarga
Terbaharu Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan menjelaskan skim tersebut tidak sepatutnya dilihat sebagai beban kepada pencarum.
Jelas beliau ia sebenarnya adalah salah satu bentuk perlindungan penting kepada pekerja termasuk keluarga pencarum.
Tegas beliau lagi, caruman skim tersebut merupakan jaminan keselamatan sosial jika berlaku perkara tak diingini kepada pencarum seperti:
- Kemalangan
- Hilang keupayaan bekerja
Ujarnya perkara itu sama seperti kepentingan dalam memiliki perlindungan insurans.
Sarankan jangan ambil mudah, perlindungan ini sama penting seperti insuran perubatan
“Kalau kita lihat skim-skim ini sebagai satu beban, kita takkan rasa sehingga padah berlaku. Sebagai contoh di Sungai Buloh, beberapa banyak kes minggu-minggu datang akibat kemalangan? Jatuh daripada motosikal, motosikal rosak, kaki patah, tangan patah, tak boleh jaga anak-anak, tak boleh jaga ibu bapa, tak boleh jaga warga emas yang ada di rumah.
“Kemudian, datang kepada kita. Kita yang menanggung beban mereka. Tapi pada masa itu, baru menyesal. Bila saya tanya, ‘kenapa tidak carum PERKESO?’ baru mereka menyesal.
“Jadi saya harap agar semua dapat mencarum. Ia adalah satu bentuk perlindungan. Apa-apa yang berlaku, sekurang-kurangnya ada keselamatan dan kita tidak boleh mengambil sikap mudah. Dia kena sentiasa ada sama macam kita ada insurans perubatan,” ujarnya, lapor Kosmo.
20 kes diterima setiap hari untuk proses penyaluran faedah
Menurutnya selama sebulan pelaksanaan skim LINDUNG 24 jam dilakukan, PERKESO menerima laporan hampir 20 kes kemalangan setiap hari untuk proses penyaluran faedah.
“Malah, kadar ini dijangka meningkat terutama apabila tiba musim perayaan kerana risiko kemalangan akan semakin meningkat.”
Perlindungan 24 jam diberikan kepada pencarum sepanjang tempoh penggajian atau masih bekerja
Untuk maklumat, Skim LINDUNG 24/7 ini adalah inisiatif terbaharu yang berada di bawah LINDUNG pekerja. Perlindungan 24 jam dalam tempoh 7 hari seminggu kepada pekerja untuk kemalangan yang tidak berkaitan dengan pekerja.
Ia juga turut meliputi kemalangan di luar waktu kerja dan sebarang kemalangan yang tidak berkaitan dengan pekerjaan.
Perlindungan tersebut diberikan kepada pekerja sepanjang tempoh penggajian.
Siapa individu yang dilindungi?
Skim LINDUNG 24 jam ini melindungi semua pekerja atau pencarum yang berada di bawah Akta 4.
Faedah yang dimiliki kepada mereka yang mencarum
Faedah yang disediakan seperti:
- Faedah perubatan
- Elaun Layanan Sentiasa (ELS)
- Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS)
- Faedah Pengurusan Maya (FPM)
- Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK)
- Faedah Pemulihan
- Faedah Orang Tanggungan (FOT)
- Faedah Pendidikan
Selain itu, caruman ini ditanggung sepenuhnya oleh pekerja dan ia akan dibuat secara tiga peringkat iaitu:
- Fasa pertama (dua tahun pertama) – 0.75%
- Fasa kedua (tiga tahun berikutnya) – 1.00%
- Fasa ketiga (tahun keenam dan seterusnya) -1.25%





