Akhir bulan November lalu kami melaporkan perincian skim permohonan rebat pembelian motosikal EV akan diumumkan pasda 8 Disember 2023. Melaluinya pelbagai hal berkaitan mekanisme permohonan termasuk panduan pengguna akan diumumkan. Hari ini Menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan skim ini akan dikenali sebagai “MARIICas”.

MARIICas adalah di bawah kelolaan Institut Automotif Robotik dan IoT Malaysia (MARii). Melaluinya mereka yang berkelayakan akan mendapat geran tunai sebanyak RM2,400 untuk membeli motosikal elektrik. Dalam pada itu turut mampu menggalakkan lagi rakyat menerima penggunaan EV di Malaysia.
Setakat ini pelbagai rebat serta potongan cukai hanya dapat dinikmati oleh pembeli kereta elektrik. Ramai merungut golongan yang mampu membeli kereta EV tidak seharusnya diberikan potongan. Sebaliknya rakyat dengan berpendapatan tahunan RM120,000 ke bawah seharusnya diberikan insentif yang sama.
Kesemua skim EV yang diumumkan kerajaan setakat ini adalah selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang ingin meningkatkan penggunaan tenaga lestari serta EV yang lebih mesra alam sekitar.


