SKMM Sila Ambil Tindakan Terhadap Iklan ‘Scalper’ Tiket Coldplay

18 May 2023 • 2:10 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Fahmi Fadzil - Gambar fail

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) diarahkan untuk mengambil tindakan berkaitan iklan penjualan semula tiket konsert kumpulan rock popular dari Britain, Coldplay di media sosial.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, wujud aktiviti penipuan jualan tiket konsert berkenaan di media sosial dan SKMM akan meminta pengendali platform berkenaan menurunkan hantaran tersebut.

"Kalau dikesan kita akan bawa (scammer) ke muka pengadilan dan hantaran (jualan tiket) jika masih berada di platform akan diambil tindakan bersesuaian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Jom Baca Bersama 10 Minit di Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) di Putrajaya, hari ini.

image is not available
Coldplay dilapor memulakan siri jelajah mereka pada Mac di Costa Rica, sebelum meneruskan persembahan yang dijadualkan di Tokyo, Kaohsiung (Taiwan), Jakarta dan Perth, selain Kuala Lumpur pada November ini.

Pada masa sama, Fahmi memaklumkan akan membincangkan perkara itu dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

“Ini keterlaluan. Isu tiket di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup. InsyaAllah saya bangkit dengan (menteri) Salahuddin Ayub,” katanya.

Beliau turut menasihatkan peminat kumpulan terbabit agar mendapatkan tiket tersebut melalui sumber sah bagi mengelak menjadi mangsa penipuan ulat tiket. 

"Kerajaan pandang serius isu (ulat tiket) ini dan kita kena kekang dan teliti apa undang-undang dan peraturan yang boleh diguna.

"Saya ingatkan kalau ingin beli... belilah daripada sumber sah agar tidak ditipu dan kalau beli tetapi tidak dapat tiket. Buat laporan polis untuk mereka ambil tindakan,” katanya.

Sejak kelmarin, beberapa individu dipercayai kumpulan 'scalper' atau pembeli tiket hantu menjual semula tiket konsert siri jelajah Coldplay iaitu Music Of The Spheres World Tour (MOTSWT) di Stadium Bukit Jalil pada 22 November depan dengan harga mencecah RM43,200.

Difahamkan, tiket tempat duduk kategori 1 berharga RM1,288 seperti tertera dalam laman web rasmi GoLive-Asia. Namun, kumpulan 'scalper' mengambil kesempatan dengan menjual tiket berkenaan dengan harga yang tidak masuk akal.

Mengikut individu menjual tiket itu, sasarannya hanya untuk mereka berkemampuan, manakala pertukaran dengan motosikal tidak diterima.

Sehubungan itu, peminat kumpulan rock popular dari British itu memohon kumpulan 'scalper' dibanteras.

Tinjauan Getaran mendapati kumpulan 'scalper' menjual semula tiket di platform media sosial dan beli-belah pada harga berlipat kali ganda daripada harga tiket asal.

Sebagai contoh, tiket My Universe yang bernilai RM2,108 dijual pada harga RM3,500 di platform beli-belah.

Sehubungan itu, peminat memohon GoLive-Asia memantau kumpulan 'scalper' pada pada masa depan.

Kumpulan 'scalper' terbabit dipercayai mempunyai akses internet laju, seterusnya membolehkan mereka membuat pembelian dengan cepat. – Getaran, 18 Mei 2023