SKP Resources diunjur berdepan pengurangan tempahan ekoran tekanan makroekonomi – TA Securities
diyana
01/12/2023 - 10:33
KUALA LUMPUR 1 Dis - TA Securities mengunjurkan tempahan SKP Resources Bhd berkurang berikutan tekanan makroekonomi, yang menyebabkan kelembapan permintaan bagi elektronik pengguna dan isi rumah.
Oleh yang demikian, firma penyelidikan itu menurunkan taraf saranan kepada 'pegang' dengan harga sasaran (TP) 78 sen sesaham berbanding RM1.10 sebelumnya, berdasarkan pendapatan sesaham (EPS) tahun kalendar 2024 sebanyak 12 kali.
Firma itu telah mengurangkan anggaran pendapatan kumpulan itu bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024, 2025 dan 2026 (FY24-2026) sebanyak 9.4%, 25.8% dan 7.3% kerana ia mengurangkan andaian jualan secara konservatif sebanyak 10.3%, 21.7% dan 9.5%.
Secara berkesan, firma tersebut kini mengunjurkan pertumbuhan jualan pengeluar kontrak bagi produk elektronik pengguna dan isi rumah itu bagi FY24 menyusut 29.7%, manakala meningkat pada FY25-26 sebanyak 7.7% dan 28.6%.
"Bagaimanapun, kami tetap yakin dengan prospek jangka sederhana hingga lebih panjang kumpulan, disokong oleh pelancaran model baharu pelanggannya, pengembangan portfolio produk dan peluang daripada strategi China Plus One," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Di samping itu, TA Research berkata kilang baharu SKP di Senai, Johor dijangka meningkatkan kapasitinya sebanyak 50%.
Katanya, kumpulan tersebut telah berjaya memperoleh sijil penyiapan dan pematuhan bagi kilang baharu itu dan rancangan untuk ruang baharu itu termasuk memperluaskan pemasangan papan litar bercetaknya, pengacuan suntikan plastik dan keupayaan kejuruteraan.
Mengulas tentang prestasi pada separuh pertama tahun kewangan 2024 (1HFY23), firma itu berkata keuntungan bersih SKP merosot 41.8% tahun ke tahun kepada RM48.7 juta disebabkan oleh tempahan lebih rendah daripada pelanggan utama, perbelanjaan operasi lebih tinggi, serta kos susut nilai dan pelunasan lebih tinggi.
Prestasi tersebut adalah dalam anggaran setahun penuh firma dan konsensus masing-masing pada 49.3% dan 43.7%.
Setakat pukul 10:28 pagi ini, saham SKP Resources menokok 4.5 sen atau 6% kepada 79.5 sen dengan permodalan pasaran bernilai RM1.2 bilion. - DagangNews.com

