Skuad B-19 terus mengaum di Surabaya, belasah Singapura 5-0

22 Jul 2024 • 11:57 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available
1

KUALA LUMPUR, 22 JULAI: Skuad bola sepak Bawah 19 Tahun (B-19) kebangsaan meneruskan rentak cemerlang dengan membelasah Singapura 5-0 pada aksi kedua Kumpulan C Kejohanan B-19 ASEAN 2024 di Surabaya, Indonesia, hari ini.

Perlawanan di Stadium Gelora 10 November menyaksikan Malaysia yang turun selaku juara bertahan memulakan pesta gol seawal minit ketujuh menerusi jaringan Muhamad Ridzwan Rosli, disusuli gol oleh Muhammad Naim Zainuddin selang lima minit kemudian, manakala G. Pavithran menambah derita Singapura pada minit pertama masa kecederaan babak pertama.

Bersambung babak kedua, anak buah Juan Torres Garrido menambah dua lagi gol menerusi Muhamad Faris Danish Mohd Asrul pada minit ke-73 dan Izzat Muhammad Syahir pula melengkapkan kemenangan skuad negara pada minit ke-82.

Malaysia yang memulakan kempen penuh bergaya selepas membelasah Brunei 11-0 pada Jumaat lepas bakal menentukan juara kumpulan dengan bertemu Thailand di Stadium Gelora Bung Tomo, Khamis ini.

Terdahulu, Thailand mudah membenam Brunei 6-0.

Walaupun berkongsi enam mata dengan Thailand, skuad kebangsaan kini menerajui Kumpulan C dengan perbezaan jaringan, manakala Singapura dan Brunei masing-masing berada di tangga ketiga dan keempat tanpa sebarang mata.

Mengikut format kejohanan juara kumpulan dan satu pasukan naib juara terbaik kumpulan layak ke saingan separuh akhir.

– BERNAMA

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved