SHAH ALAM, 23 OKT: Skuad hoki negara perlu bekerja keras mulai sekarang bagi melayakkan diri ke Olimpik Los Angeles (LA) 2028, kata Dato’ Mirnawan Nawawi.
Bekas pengurus skuad kebangsaan berkata meski prestasi pasukan dilihat tidak konsisten ketika ini namun peluang perlu diberi memandangkan pasukan itu baharu ditubuh April lalu.
“Sebagai bekas pengurus pasukan dan ketua pasukan hoki negara, saya faham proses itu yang selalunya persiapan adalah satu kitaran.
“Kita ada empat tahun sebelum LA 2028 bermula. Saya rasa kita perlu berikan masa kepada jurulatih baharu, Sarjit Singh dan barisan pemain termasuk beberapa pemain muda yang dibawa masuk untuk mereka menjadi pasukan lebih matang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Jr Sahara Playland yang disempurnakan Orang Besar Daerah Petaling Dato’ Emran Kadir di AEON Mall, di sini hari ini.

Mei lalu, skuad hoki dalam dewan lelaki kebangsaan mara ke final Piala Asia 2024 selepas mengikat Iran 3-3 pada aksi Kumpulan C.
Keputusan itu menyaksikan Malaysia memperoleh lima mata keseluruhan dan menduduki tangga kedua Kumpulan C di belakang Iran yang mengumpul tujuh mata, sekali gus menempah slot ke Piala Dunia Hoki Dalam Dewan 2025 di Porec, Croatia pada 3 hingga 9 Februari tahun depan.
The post Skuad hoki perlu kerja keras untuk ke Olimpik Los Angeles appeared first on Selangorkini.

