Skuad lelaki negara raih emas berpasukan boling Asia, sapu bersih All Event

16 Jan 2023 • 4:47 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

KUALA LUMPUR, 16 JAN: Skuad boling negara terus mempamerkan prestasi cemerlang apabila meraih pingat emas acara lelaki lima berpasukan selain menyapu bersih acara All Event lelaki pada Kejohanan Tenpin Boling Asia (ATBC) ke-26 hari ini.

Pada aksi berlangsung di Pusat Boling Persatuan Olahraga China Selatan di Hong Kong itu, skuad kebangsaan pada mulanya hanya mampu menduduki tempat ketiga bagi blok pertama dalam acara lima berpasukan dengan melakukan 3,607 jatuhan pin.

Bagaimanapun, pasukan terdiri daripada Muhammad Rafiq Ismail, Syafiq Ridhwan Abdul Malek, Mohd Syazirol Shamsudin, Tun Hakim Tun Hasnul Azam, Timmy Tan dan Ahmad Muaz Fishol, bangkit merampas tempat pertama pada blok kedua setelah melakukan 7,323 jatuhan pin untuk meraih emas.

Keputusan yang diraih skuad kebangsaan itu mengetepikan cabaran pasukan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di tempat kedua dengan 7,079 jatuhan pin dan tempat ketiga dimenangi skuad Korea Selatan dengan catatan 7,044 jatuhan pin.

Dalam pada itu, Muhammad Rafiq turut mencipta sensasi selepas meraih emas acara All Event lelaki dengan membuat jatuhan pin tertinggi sebanyak 6,128 diikuti rakan sepasukan Timmy yang memenangi perak dengan 6,073 jatuhan pin.

Gangsa milik Tun Hakim yang mengumpul 5,954 jatuhan pin manakala skuad negara turut mengisi kedudukan keempat dan kelima masing-masing menerusi Ahmad Muaz (5,938) dan Syafiq Ridhwan (5,850).

Setakat ini, Malaysia berada di kedudukan pertama dalam pungutan pingat keseluruhan dengan memperoleh tiga emas, lima perak dan tiga gangsa.

– BERNAMA

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved