Langkah pertama di bumi Jepun bermula dengan cukup meyakinkan buat skuad sepak takraw negara apabila mereka berjaya menundukkan tuan rumah 3-0 di Gimnasium Bandar Nagoya.
Kemenangan ini bukan sekadar beri permulaan positif, malah terus meletakkan Malaysia di tangga teratas Kumpulan B dalam misi memburu tempat ke peringkat seterusnya.
Regu pertama beri tonik awal

Malaysia bermula garang menerusi regu pertama yang dibarisi Syahir Rosdi, Azlan Alias dan Farhan Adam. Tanpa beri banyak ruang kepada Jepun, trio negara memastikan mata pertama menjadi milik Malaysia selepas menang straight set 15-11, 15-11.
Momentum itu kemudian diteruskan regu kedua apabila anak buah Ahmad Jais Baharun kekal mengawal permainan dan mengesahkan kemenangan buat negara.
Bangkit selepas diuji tuan rumah

Aksi regu ketiga pula sedikit mencabar apabila Jepun berjaya mencuri set pertama 15-13 daripada gandingan Hafizul Hayazi Adnan, Amirul Zazwan Amir dan Zarif Marican Ibrahim Marican.
Namun, Malaysia tidak membiarkan tekanan itu berpanjangan. Wakil negara bangkit dengan kemenangan 15-5 pada set kedua sebelum menutup set penentuan 15-6 untuk melengkapkan kemenangan 3-0.
Selepas ini, skuad negara bakal berdepan India dan Filipina dalam usaha meneruskan kemaraan. Untuk rekod, kali terakhir Malaysia meraih pingat emas acara berpasukan sepak takraw di Sukan Asia adalah pada edisi 1990 di Beijing, China.
The post Skuad Takraw Buka Kempen Sukan Asia Dengan Kemenangan 3-0 Ke Atas Jepun appeared first on Oh! Media.


