
HANGZHOU: Skuad hoki wanita negara turut kecewa selepas tewas 0-5 kepada Korea Selatan dalam aksi terakhir peringkat Kumpulan A di Sukan Asia Hangzhou 2022 hari ini.
Kekalahan itu meletakkan Malaysia di kedudukan ketiga kumpulan dengan tujuh mata, manakala India dan Korea Selatan yang mengutip 10 mata dengan masing-masing dibezakan dengan jumlah jaringan India (33 jaringan) dan Korea Selatan (17 jaringan).
Pada aksi di Stadium Gongshu Canal Sports Park itu, Korea Selatan yang dilihat menguasai permainan memperoleh gol pembukaan hasil pukulan sudut penalti Cho Eunji pada minit ke-14.
Skuad bimbingan Mohd Nasihin Nubli Ibrahim terus dibolosi melalui jaringan An Sujin pada minit ke-25 sebelum Seo Jungeun meletakkan pasukannya selesa 3-0 pada minit ke-36.
Gol pasukan negara terus dibolosi pada minit ke-38 menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Sujin sebelum Lee Yuri melengkapkan kemenangan 5-0 Korea Selatan, 10 minit sebelum perlawanan tamat.
Sementara itu, Mohd Nasihin mengakui beberapa kesilapan dilakukan pemain telah membuka peluang kepada lawan untuk menjaringkan gol meskipun pasukan negara telah berusaha keras memastikan kubu pertahanan tidak dibolosi.
“Korea Selatan pasukan yang kuat sebab sebelum ini mereka pernah seri dengan India dan kita cuba dengan baik untuk bertahan hari ini.
“Di suku pertama, pemain kita Nuramirah Shakirah Zulkifli tercedera dan ia menyukarkan kita memberi tentangan sengit kepada Korea Selatan. Sedikit kesilapan atau disiplin menyebabkan Korea Selatan mempunyai ruang untuk menjaringkan gol,“ katanya.
Skuad negara akan berdepan Thailand dalam penentuan tempat kelima dan keenam pada 7 Okt ini. -Bernama

