amree21/10/2026 - 10:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 21 Okt – SkyeChip Berhad menjalin kerjasama reka bentuk dan kejuruteraan dengan Saimemory Corp, anak syarikat SoftBank Corp, bagi menyokong pembangunan teknologi memori kecerdasan buatan (AI) generasi baharu yang menyasarkan prestasi tinggi dengan tenaga lebih rendah.
Menurut kenyataan kumpulan berpangkalan di Pulau Pinang itu, kerjasama tersebut melibatkan program Z-Angle Memory (ZAM) dibangunkan Saimemory yang beribu pejabat di Tokyo, Jepun serta memberi tumpuan khusus kepada aspek pembangunan teknologi memori untuk aplikasi AI termaju.
Jelasnya, teknologi ZAM berkenaan direka dapat dimanfaatkan untuk kegunaan operasi pusat data (DC) dan aplikasi lain yang memerlukan latihan serta inferens model AI berskala besar, termasuk dalam pemprosesan data berkapasiti tinggi dan jalur lebar berskala besar.
"Teknologi baharu ini dibangunkan bagi meningkatkan tahap prestasi pemprosesan data sambil mampu bagi mengurangkan penggunaan tenaga elektrik, sekali gus berupaya dalam menangani keperluan sistem AI dan pengkomputeran yang berprestasi tinggi," kata SkyeChip.
Menerusi kerjasama berkenaan, kumpulan tersebut akan menyediakan sokongan reka bentuk, kejuruteraan dan rumusan harta intelek (IP) secara khusus untuk program ZAM dengan memanfaatkan kepakarannya selama ini dalam kerja reka bentuk serta aspek integrasi silikon.
Inisiatif itu tambah kumpulan berkenaan yang ditubuhkan sejak 2020, turut menjadi langkah awal dalam membina hubungan antara kedua-dua syarikat, dengan matlamat memperkukuh kerjasama jangka panjang ke arah pengkomersialan teknologi ZAM pada masa hadapan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SkyeChip, Datuk Fong Swee Kiang berkata, industri AI kini berdepan dengan cabaran jurang memori atau dirujuk sebagai 'memory wall', iaitu kekangan berkaitan keupayaan memori untuk memenuhi banyak keperluan pemprosesan data.
"Teknologi antara muka memori dikeluarkan kumpulan ini berperanan sebagai penghubung dalam menangani cabaran tersebut, manakala kerjasama dengan Saimemory diyakini dapat memperluaskan penglibatan syarikat dalam program memori AI termaju," jelas beliau.
Dalam pada itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Saimemory Corp, Hideya Yamaguchi berkata, kepakaran teknikal serta pengalaman SkyeChip dijangka berupaya memainkan peranan penting untuk merealisasikan inovasi memori generasi baharu itu.
Beliau berkata, kedua-dua pihak turut berharap supaya kerjasama dijalin tersebut akan dapat membantu usaha pengkomersialan ZAM, selain membina perkongsian jangka panjang bagi meneroka pasaran baharu untuk teknologi memori generasi seterusnya.
Program ZAM dilaksanakan di bawah projek penyelidikan dan pembangunan prasarana dipertingkat bagi sistem maklumat dan komunikasi pasca-5G, yang menerima geran subsidi daripada Pertubuhan Pembangunan Teknologi Perindustrian dan Tenaga Baharu (NEDO).
SkyeChip, yang menyediakan IP silikon dan produk silikon, mempunyai portfolio IP antara muka memori berprestasi tinggi, Network-on-Chip dan antara muka D2D. Syarikat itu telah membangunkan lebih 120 ciptaan paten yang difailkan di Malaysia, China dan Amerika Syarikat (AS). - DagangNews.com



