Supratechnic bangunkan aplikasi Afli bantu nelayan mudah kesan lokasi ikan dan jimat kos bahan api

LocalTechnology
14 Oct 2026 • 2:50 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Supratechnic bangunkan aplikasi Afli bantu nelayan mudah kesan lokasi ikan dan jimat kos bahan api Image from: Supratechnic bangunkan aplikasi Afli bantu nelayan mudah kesan lokasi ikan dan jimat kos bahan api amree14/10/2026 - 14:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 14 Okt – Nelayan kecil di Malaysia bakal mendapat akses kepada teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk membantu mengesan lokasi ikan, sekali gus berpotensi menjimatkan kos bahan api dan masa menerusi aplikasi perikanan dikenali Afli.

 

Sistem terbaharu itu diperkenalkan oleh Supratechnic (M) Sdn Bhd bersama-sama firma teknologi perikanan Iceland, GreenFish hf, dengan syarikat tersebut turut akan dilantik sebagai pengedar eksklusif aplikasi berkenaan di Malaysia, Singapura dan Indonesia.

 

Menurut kenyataan syarikat itu, aplikasi berkenaan menggabungkan teknologi AI, pemantauan satelit dan data oseanografi bagi meramalkan kawasan yang berpotensi mempunyai banyak ikan, dengan ramalan dikemas kini sekurang-kurangnya setiap enam jam.

 

"Ramalan boleh disimpan dalam telefon bimbit untuk digunakan ketika berada di laut, termasuk di kawasan tanpa liputan rangkaian mudah alih, yang membolehkan nelayan menggunakan maklumat tanpa bergantung pada sambungan internet," jelas Supratechnic.

 

Bagi menguji keberkesanan aplikasi itu dalam keadaan sebenar, projek rintis dilaksanakan selama enam bulan yang melibatkan 50 nelayan daripada sekurang-kurangnya tiga cawangan Supratechnic di Pantai Timur dan Pantai Barat Semenanjung Malaysia.

 

Program itu turut merangkumi musim monsun bagi menilai prestasi dalam keadaan berbeza, dan mengukur ketepatan ramalan berbanding lokasi penangkapan ikan yang lazim digunakan nelayan, selain menilai potensi penjimatan bahan api serta tempoh masa.

 

nelayan_DagangNews2026

 

Aplikasi percubaan itu dijangka siap dalam tempoh 60 hari selepas perjanjian dimeterai. Ia turut dilengkapi ciri keselamatan perjalanan, termasuk amaran kepada rakan jika nelayan gagal melaporkan kedudukan dalam masa ditetapkan serta fungsi kecemasan SOS.

 

"Afli namun bergantung kepada rangkaian telefon bimbit dan bukan sambungan satelit, justeru tidak menggantikan peralatan keselamatan atau komunikasi khusus. Penggunaan teknologi ini berpotensi meningkatkan kecekapan dan memperkukuh daya tahan ekonomi nelayan," katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Supratechnic merangkap Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan USP Group, Melvin Tan, berkata teknologi itu bertujuan membantu nelayan menggabungkan ramalan berasaskan AI dengan pengalaman mereka menentukan lokasi tangkapan.

 

Beliau berkata syarikat itu turut berhasrat menjadikan kos Afli sebagai mampu milik, termasuk kepada nelayan daripada isi rumah B40, menerusi kerjasama dengan persatuan nelayan bagi menawarkan langganan berkumpulan tanpa memerlukan pembelian perkakasan khas.

 

Selepas penilaian projek rintis selesai, Afli akan ditawarkan secara komersial melalui rangkaian cawangan Supratechnic di Pulau Pinang, Sitiawan, Shah Alam, Muar, Kuala Terengganu, Kuantan dan Mersing sebelum diperluaskan ke Singapura dan Indonesia.

 

"Aplikasi ini dirancang menyokong Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris, dengan Bahasa Cina ringkas serta Bahasa Indonesia turut dirancang untuk diperkenalkan," kata syarikat tersebut yang ditubuhkan sejak 1981 dan beribu pejabat di Shah Alam, Selangor.

 

Ia merupakan pengedar terkemuka enjin marin, peralatan, alat ganti dan perkhidmatan berkaitan teknikal serta merupakan subsidiari Supratechnic Pte Ltd, syarikat pemegangan pengedaran marin dan penjagaan kesihatan di Singapura. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved