
KOTA KINABALU: Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) melancarkan penerbitan dokumen mahkamah dan repositori digital berkaitan hak perlembagaan Sabah sebanyak 40 peratus.
Penerbitan bertajuk “MA63: Sabah’s 40pc Constitutional Entitlement – Cause Papers, High Court” menghimpunkan dokumen mahkamah daripada prosiding semakan kehakiman SLS berhubung hak 40 peratus bagi tahun kewangan 1974 hingga 2021.
Majlis pelancaran itu diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, Sabtu.
“Kami mahu peguam, penyelidik, pelajar dan orang awam dapat merujuk rekod prosiding berkenaan,” kata Presiden SLS Datuk Mohamed Nazim Maduarin dalam satu kenyataan.
Pelancaran itu diadakan bersempena forum mengenai kes Mahkamah Tinggi, penghakiman dan langkah seterusnya.
Forum itu menampilkan anggota pasukan perundangan SLS, Dr David Fung dan Jeyan Marimuttu, manakala bekas Presiden SLS Datuk Roger Chin bertindak sebagai moderator.
Forum berkenaan membincangkan tindakan litigasi, penghakiman serta isu perundangan yang timbul daripada prosiding tersebut.
Repositori MA63 SLS melengkapi penerbitan bercetak itu sebagai platform digital untuk menyimpan dan mengakses bahan perundangan berkaitan dengan lebih mudah.
Mohamed Nazim berkata matlamat SLS adalah untuk memastikan rekod berkenaan tepat dan terbuka kepada semua.
“Kami percaya sejarah perlembagaan Sabah perlu dipelihara dengan tepat dan boleh diakses supaya generasi masa kini dan akan datang dapat membaca sendiri rekod tersebut.
“Objektifnya bukan untuk mengurangkan persoalan perlembagaan yang kompleks kepada slogan, tetapi menggalakkan pemahaman berasaskan maklumat melalui bahan perundangan dan proses perlembagaan.
“Kami akan terus memainkan peranan institusi dalam perkara berkaitan hak perlembagaan Sabah mengikut undang-undang, melalui saluran perlembagaan dan selaras dengan tanggungjawab kami sebagai peguam serta institusi Badan Peguam,” katanya.
SLS memulakan prosiding itu pada 2022. Pada 17 Okt 2025, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan semakan kehakimannya dan memberikan, antara lain, perintah supaya hak 40 peratus bagi tahun kewangan 1974 hingga 2021 dikaji semula.
SLS berkata proses perundangan selanjutnya telah menyusul dan pihaknya menghormati proses perlembagaan serta kehakiman yang masih berjalan berhubung perkara itu.
Persatuan itu berkata forum, penerbitan dan repositori berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusannya untuk menggalakkan pemahaman mengenai isu perlembagaan dan perundangan yang memberi kesan kepada Sabah melalui pendidikan undang-undang, wacana profesional dan akses kepada bahan sumber utama.






