
Kota Kinabalu: Seorang wanita berusia 40 tahun didenda RM20,000 atau enam bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen kerana mengganggu meter elektrik satu fasa milik Sabah Electricity Sdn Bhd (SE) secara tidak sah sehingga bacaan penggunaan elektrik tidak direkodkan dengan betul dan menyebabkan syarikat itu mengalami kerugian.
Noralam Datu Batul mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Hurman Hussain.
Noralam, pemilik 19 Nineteen Mart didapati memasang kabel pintasan sepanjang 10 sentimeter di bahagian belakang terminal meter menyebabkan aliran elektrik terus disalurkan ke premis tanpa melalui sistem pengukuran dalaman meter.
Dia melakukan kesalahan itu pada jam 9.45 pagi, 23 Januari tahun ini di premis berkenaan di Taman Nice, Kampung Kobusak, Penampang.
Noralam didakwa mengikut Subseksyen 61(3)(a) Enakmen Bekalan Elektrik 2024 dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 61(3)(ii) enakmen sama yang memperuntukkan denda antara RM20,000 hingga RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun jika disabitkan kesalahan.
Mahkamah diberitahu bahawa pada hari kejadian, pasukan operasi bersepadu yang terdiri daripada pegawai Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) dan juruteknik SE menjalankan pemeriksaan bagi membanteras kegiatan mencuri elektrik di premis berkenaan.
Bekalan elektrik ke premis itu menggunakan akaun yang didaftarkan atas nama Homeguard Security System Sdn Bhd dan dibekalkan melalui meter elektrik satu fasa.
Pemeriksaan fizikal terhadap pemasangan meter mendapati beberapa ketidakaturan, termasuk ketiadaan meterai meter serta pelekat keselamatan pada penutup terminal dan fius pemutus (Cut Out Fuse).
Siasatan mendapati kabel pintasan berwarna hitam sepanjang 10 sentimeter dipasang secara haram di belakang terminal meter menyebabkan elektrik mengalir terus ke premis tanpa melalui sistem meter untuk direkodkan.
Mahkamah turut diberitahu bahawa pasukan SE menjalankan ujian ketepatan meter menggunakan peralatan ujian piawai yang ditentukur iaitu Portable Meter Test Set.
Keputusan ujian menunjukkan meter berkenaan mencatat ralat ketepatan purata sebanyak 73.622 peratus, sekali gus mengesahkan secara teknikal bahawa meter telah diusik bagi menghalangnya merekod penggunaan elektrik sebenar premis berkenaan.
Kabel pintasan dan meter elektrik satu fasa itu kemudian ditanggalkan serta dirampas pasukan ECoS untuk dijadikan bahan bukti bagi siasatan lanjut.
Meter elektrik baharu turut dipasang di premis berkenaan bagi menggantikan meter yang telah diusik.
Akibat perbuatan itu SE mengalami kerugian hasil bagi tempoh 23 Oktober 2024 hingga 22 Januari tahun ini dengan jumlah tuntutan kerugian hasil sebanyak RM10,648.02 dikenakan terhadap Noralam.
Noralam membayar denda tersebut.
Pegawai Pendakwa ECoS Andryero Thomas hadir bagi pihak pendakwaan manakala peguam Azhier Farhan Arisin mewakili Noralam.






