

Belum genap enam bulan selepas pengenalannya di peringkat global, SUV elektrik, smart #5, dilaporkan dikesan di China dalam versi baharu yang menggunakan enjin pembakaran dalaman (ICE).
Spekulasi Sistem Kuasa PHEV Atau REEV
Menurut laporan CarNewsChina, model baharu ini telah dikesan di negara tersebut dengan trenkuasa baharu, menggantikan trenkuasa elektrik bateri (BEV) yang digunakan pada model asal. Bagaimanapun, berdasarkan foto yang dikongsikan oleh Autohome China, tidak dapat dipastikan sekiranya model ini hadir dengan sistem hibrid plug-in (PHEV) atau EV dengan pemanjang jarak (REEV).


Sebagai pemegang saham dalam jenama smart, Geely Group terkenal dengan teknologi canggih PHEV, termasuk sistem terbarunya, NordThor EM-i.
Sistem NordThor EM-i menggunakan enjin petrol 1.5 liter 4 silinder aspirasi semula jadi dan telah digunakan dalam model terkini Geely, termasuk Geely Galaxy Starship 7. Memandangkan ukuran Starship 7 hampir sama dengan smart #5, berkemungkinan besar sistem trenkuasa yang sama ini akan digunakan pada varian ICE smart #5.
Ciri Reka Bentuk Berbeza


Versi ICE ini juga menampilkan beberapa elemen reka bentuk yang berbeza berbanding varian elektriknya seperti yang dapat dilihat daripada rim aloi yang hadir dengan rekaan jejari lebih halus, penutup tangki bahan api dan ekzos di bahagian belakang.


Ruang kabin bagaimanapun tidak menerima perubahan ketara. Model ini masih mengekalkan paparan dwi-skrin dan stereng tiga jejari yang serupa dengan model BEV.
Prestasi Jualan Di Pasaran China


Selepas pelancarannya pada Ogos 2024, smart #5 EV mula dijual di China pada Oktober tahun yang sama dengan harga dari CNY 239,900 (~RM146,000). Walaupun menawarkan kabin moden, sistem kuasa EV yang cekap dan rekaan yang ranggi, model ini gagal mencatatkan prestasi jualan yang memberangsangkan dengan purata jualan bulanan hanya sekitar 3,000 unit, angka yang rendah bagi standard pasaran China.


Laporan CarNewsChina menyatakan bahawa prestasi jualan yang lemah ini mungkin mendorong smart untuk memperkenalkan varian ICE. Dengan pertumbuhan jualan yang agak baik bagi versi PHEV dan REEV sejak akhir-akhir ini di pasaran tersebut, besar kemungkinan smart akan menggunakan kepakaran Geely dalam PHEV untuk varian kali ini.
Maklumat terperinci mengenai model ini mungkin akan diketahui sebaik pengumumuan rasmi dibuat dalam masa yang terdekat.
Sumber: CarNewsChina




![“Nak Belanja Dia Minum” – Wanita Cari Lelaki Bantu Tap Kad Touch ‘n Go Di Tol Curi Perhatian [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/entertainment.jpeg)
