SMD 9.0 medan Skuad Antidadah dekati anak muda

18 Sep 2026 • 4:28 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

SMD 9.0 medan Skuad Antidadah dekati anak muda

Kota Kinabalu: Sabah MotoDay (SMD) 9.0 menjadi platform Skuad Antidadah Sabah untuk mendekati golongan muda menerusi minat mereka terhadap dunia permotoran sekali gus menyampaikan mesej kehidupan bebas daripada dadah.

Pengerusi Skuad Antidadah Sabah dan Pengerusi Bersama Sabah MotoDay 9.0, Datuk Mazlan @Joehari Manan (gambar) berkata pendekatan itu penting bagi memastikan mesej antidadah dapat disampaikan secara lebih dekat dan berkesan kepada komuniti anak muda.

Katanya, SMD bukan sekadar acara menghimpunkan komuniti permotoran, sebaliknya menjadi platform membawa mesej lebih besar kepada masyarakat, khususnya generasi muda.

“Kalau kita mahu mendekati anak muda, kita mesti masuk ke dalam dunia mereka. Kita tidak boleh hanya tunggu mereka datang kepada kita.

“Kita mesti turun ke lapangan, memahami minat mereka dan menggunakan platform yang mereka sukai untuk membawa mesej yang baik,” katanya ketika berucap sempena SMD 9.0, di sini.

Mazlan yang juga Pengerusi Penganjur SMD 9.0 berkata komuniti permotoran terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk pekerja, usahawan, golongan profesional, pelajar dan pemimpin masyarakat, dengan sebahagian besar daripadanya adalah golongan muda yang mempunyai potensi besar.

Menurutnya, kekuatan komuniti berkenaan perlu dimanfaatkan bagi menyampaikan mesej antidadah dan pada masa sama dapat mengubah persepsi negatif terhadap golongan peminat motosikal.

“Kita mahu buktikan bahawa anak motor bukan anak yang hilang arah. Anak motor juga boleh berjaya, menjadi pemimpin, usahawan, sukarelawan dan benteng hadapan memerangi dadah,” katanya.

Beliau turut menyeru semua kelab dan komuniti permotoran supaya menjadi duta antidadah dengan membawa mesej berkenaan kepada keluarga, rakan serta komuniti di kampung dan daerah masing-masing.

Katanya, konsep ‘kawan jaga kawan’ perlu diperkukuh dengan membantu rakan yang mula tersasar atau berdepan masalah ketagihan, bukannya terus menghukum mereka.

Ini kerana katanya, usaha membanteras dadah bukan hanya berkaitan hukuman, tetapi turut membabitkan harapan, peluang kedua dan usaha menyelamatkan masa depan generasi muda.

“Justeru, jangan sekali-kali cuba dadah. Jangan fikir sekali (ambil dadah) tidak mengapa kerana kadang-kadang kehancuran bermula dengan satu cubaan,” katanya.

Dalam pada itu, Mazlan berkata SMD 9.0 turut membawa mesej supaya komuniti permotoran mengutamakan keselamatan, mematuhi undang-undang dan menghormati pengguna jalan raya lain.

Menurutnya, dunia permotoran juga boleh menjadi ruang membina masa depan anak muda menerusi peluang dalam bidang mekanikal, aksesori, modifikasi, pemasaran, kandungan digital, pelancongan dan penganjuran acara.

Sehubungan itu beliau berharap SMD terus berkembang sebagai acara yang bukan saja menghimpunkan ribuan motosikal tetapi turut menyatukan komuniti menerusi semangat persaudaraan, perpaduan dan komitmen membina generasi Sabah yang bebas dadah.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved