SME Corp salur peruntukan hampir RM23 juta kepada lebih 1,000 usahawan wanita pada 2023
zulfadli
08/03/2024 - 08:00
KUALA LUMPUR 8 Mac - Seramai 1,065 usahawan wanita menerima manfaat melalui bantuan kewangan berjumlah RM22.6 juta daripada SME Corp Malaysia, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) pada 2023.
SME Corp memaklumkan, jumlah tersebut merangkumi hampir 40% daripada bilangan keseluruhan 2,708 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menerima manfaat daripada program-program pembangunan PMKS yang dilaksanakan SME Corp pada tahun tersebut dengan nilai bantuan berjumlah RM92.6 juta.
Katanya, pencapaian tersebut berjaya melepasi sasaran awal yang ditetapkan oleh SME Corp bagi memastikan sekurang-kurangnya 30% penerima manfaat adalah dalam kalangan usahawan wanita.
"Di antara program yang banyak memberi manfaat kepada usahawan wanita adalah Program Pembangunan Perniagaan Usahawan Mikro (BizME) yang mana seramai 548 peserta atau 48% daripada jumlah keseluruhan peserta iaitu 1,142 terdiri daripada usahawan wanita dengan bantuan bernilai RM1.7 juta.
"SME Corp juga membantu usahawan wanita melalui Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) yang bertujuan menggalakkan golongan belia menceburi bidang keusahawanan.
"Daripada 555 peserta yang diluluskan geran perniagaan berjumlah RM10 juta, 50% daripadanya adalah belia wanita iaitu seramai 280 peserta yang telah diluluskan geran perniagaan berjumlah RM4.3 juta," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Menurut kenyataan itu, SME Corp melaksanakan Program Pengukuhan Eksport PMKS bertujuan meningkatkan keupayaan pra-eksport PMKS serta menambah bilangan PMKS berpotensi menembusi pasaran global, yang mana seramai 121 PMKS milikan wanita mendapat kelulusan berjumlah RM3.3 juta.

Katanya, program lain yang mencatatkan penyertaan memberangsangkan dari usahawan wanita adalah seperti Program Peningkatan Kapasiti dan Keupayaan PKS (BAP), Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) dan Geran Perniagaan Mikro (GPM) yang berjaya memanfaatkan lebih 100 usahawan wanita dengan kelulusan geran bernilai lebih RM12 juta bagi tujuan pembangunan kapasiti perniagaan mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Rizal Nainy berkata, pihaknya kekal komited untuk membantu usahawan wanita dengan menyasarkan sekurang-kurangnya 30% penerima manfaat bagi inisiatif dan program-program yang dilaksanakan adalah usahawan wanita.
Bagi tahun 2024 katanya, sebanyak RM134.6 juta diperuntukkan untuk melaksanakan pelbagai inisiatif dan program.
Katanya, pihaknya menyasarkan lebih 16,700 PMKS bakal menerima manfaatnya pada tahun ini termasuklah usahawan wanita, sejajar dengan aspirasi kerangka Ekonomi MADANI yang lebih saksama, inklusif dan mampan.
"Pada tahun ini juga, SME Corp akan kembali menganjurkan Anugerah Enterprise 50 (E50) iaitu program anugerah berprestij yang mengiktiraf pencapaian 50 PMKS terunggul di Malaysia," katanya. - DagangNews.com

