
Kota Kinabalu: SMJ Energy pada Rabu menjelaskan keputusannya untuk tidak menyertai bidaan bagi Kluster Mutiara, dengan menegaskan pendekatan itu selaras dengan strategi kewangan berhati-hati serta pengurusan risiko jangka panjang bagi sektor minyak dan gas Sabah.
Dalam satu kenyataan, syarikat tenaga milik penuh Kerajaan Negeri itu berkata tumpuan pelaburan semasanya adalah berpandukan keutamaan Kerajaan Negeri untuk memperoleh perkongsian hasil yang lebih tinggi dan penglibatan lebih kukuh dalam sektor minyak dan gas negeri, seperti digariskan dalam Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) yang dimeterai bersama Petronas.
“Sejak penubuhannya, SMJ Energy telah berkembang menjadi sebuah syarikat bernilai RM5 bilion, dengan pegangan ekuiti dalam beberapa aset bernilai tinggi dan berdaya saing,” menurut kenyataan itu.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});Antara aset tersebut ialah 50 peratus kepentingan dalam kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) Samarang, 10 peratus dalam LNG9 dan 25 peratus dalam loji petrokimia Samur – kesemuanya aset yang terbukti menguntungkan.
Walaupun masih baru, SMJ Energy telah mengisytiharkan dividen berjumlah RM160 juta dalam tempoh kurang tiga tahun beroperasi, menunjukkan prestasi kukuh portfolionya.
Syarikat itu menegaskan bahawa industri minyak dan gas melibatkan pelaburan serta risiko yang tinggi. “Kegagalan cari gali boleh mengakibatkan kerugian ratusan juta, bahkan berbilion ringgit,” katanya.
Memandangkan kekangan fiskal negeri dan keperluan pembangunan lain yang bersaing, SMJ Energy berkata ia memilih pendekatan pelaburan yang lebih bertanggungjawab, dengan menumpu kepada pengambilalihan aset yang terbukti menjana hasil dan dikendalikan rakan kongsi yang memiliki kredibiliti kukuh dalam aspek persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG).
Bagi prospek cari gali, SMJ Energy memilih meminimumkan risiko melalui mekanisme seperti “free carry” dan “back-in rights” bagi membolehkan syarikat menyertai projek hanya selepas penemuan berjaya dibuat, tanpa menanggung kos awal cari gali yang tinggi.
“Setakat ini, SMJ Energy memiliki hak ‘free carry’ dan ‘back-in’ dalam blok SB409 (20 peratus), SB403 (20 peratus), SB306A (7.5 peratus) dan SB306B (7.5 peratus),” menurut kenyataan itu.
Mengenai Kluster Mutiara, SMJ Energy menjelaskan bahawa ia diklasifikasikan sebagai Discovered Resource Opportunity (DRO), yang masih memerlukan pelaburan besar dalam kerja-kerja cari gali dan pembangunan, tanpa sebarang jaminan kejayaan komersial.
“Prospek seperti ini bukan keutamaan ketika ini bagi SMJ Energy,” katanya sambil menambah di bawah CCA, syarikat berhak untuk memperoleh aset DRO daripada Petronas setelah ia dibangunkan dan risikonya dapat diminimumkan.
SMJ Energy berkata pendekatan ini mencerminkan strategi menyeluruh syarikat untuk mengimbangi risiko dan pulangan, dengan portfolio yang merangkumi sektor huluan minyak dan gas, LNG dan petrokimia, sambil terus peka terhadap keutamaan fiskal keseluruhan negeri.
SMJ Energy memaklumkan ia akan terus meneroka peluang pengambilalihan strategik dan kerjasama baharu berdasarkan kerangka pelaburan yang berdisiplin ini, dengan pengumuman lanjut dijangka dalam masa terdekat.


![Ramai Puas Hati Lihat Pemandu Vios Kena Tahan Polis Peronda Lepas Tunjuk Isyarat Lucah [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/politics.jpeg)
