SMK Bario Kini Tawarkan Tingkatan 4 dan 5, Pelajar Tak Perlu Lagi Berpindah

14 Feb 2025 • 12:37 PM MYT
I Love Borneo
I Love Borneo

Laman infotainment, gaya hidup dan pelancongan di Borneo

image is not available

SMK Bario Kini Tawarkan Tingkatan 4 dan 5, Pelajar Tak Perlu Lagi Berpindah. Pelajar SMK Bario yang baru sahaja menamatkan Tingkatan 3 kini boleh meneruskan pendidikan menengah atas di sekolah tersebut tanpa perlu berpindah ke sekolah lain di daerah seperti Marudi dan Miri, kata Datuk Gerawat Gala.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu itu berkata perkara ini menjadi kenyataan selepas Kementerian Pendidikan memberi lampu hijau untuk menaik taraf SMK Bario dengan menambah kelas Tingkatan 4 dan Tingkatan 5.

image is not available
SMK Bario Kini Tawarkan Tingkatan 4 dan 5, Pelajar Tak Perlu Lagi Berpindah. Kredit foto: SMK Bario

“Kami sangat gembira kerana kerajaan persekutuan telah bersetuju untuk menaik taraf SMK Bario supaya dapat menawarkan pendidikan menengah atas, iaitu Tingkatan 4 dan 5.

“Jadi untuk tahun ini, pelajar Tingkatan 3 dari sesi lepas akan memulakan Tingkatan 4 apabila penggal baharu bermula,” katanya dalam satu temubual di pejabatnya semalam.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier itu turut memaklumkan bahawa beliau telah berbincang dengan pengetua dan guru-guru SMK Bario serta pegawai pendidikan daerah mengenai persiapan untuk memulakan kelas Tingkatan 4.

“Mereka mempunyai bilik darjah yang mencukupi serta ruang di asrama sedia ada.

Bangunan untuk Tingkatan 5 perlu dibina baharu

“Namun, mereka perlu membina bilik darjah dan asrama baharu tahun depan apabila pelajar Tingkatan 4 sekarang naik ke Tingkatan 5, selain menerima pelajar baharu untuk Tingkatan 4,” jelasnya.

Gerawat turut menyatakan bahawa hasratnya untuk melihat SMK Bario menawarkan pendidikan menengah atas adalah sesuatu yang sangat dekat di hatinya, kerana beliau sendiri pernah bersekolah di situ.

“Sejak ditubuhkan pada tahun 60-an, SMK Bario hanya menyediakan pendidikan sehingga Tingkatan 3. Dahulu, selepas Tingkatan 3, kami dihantar belajar di Marudi.

“Selama setahun penuh, kami terpaksa tinggal di Marudi dan hanya pulang ke kampung halaman ketika cuti akhir tahun.

Lebih baik untuk pelajar Bario menamatkan persekolahan menengah di kampung halaman sendiri

“Apabila difikirkan semula, bagi pelajar dari kawasan luar bandar yang kurang terdedah dengan kehidupan di bandar, adalah lebih baik mereka menamatkan pendidikan menengah di sekolah mereka sendiri dahulu agar mereka lebih matang sebelum melanjutkan pelajaran ke bandar,” katanya.

Tentunya ini adalah khabar berita yang sudah lama dinantikan oleh anak-anak Bario serta ibu bapa di sana. Tahniah orang Bario! Semoga makin ramai cerdik pandai dan bakat terpendam dapat dicungkil dari sana selepas ini tanpa perlu meninggalkan rumah dan berjauhan dengan ibu bapa sejak dari usia muda.

Ini pula 11 aktiviti menarik yang anda boleh lakukan di Bario, Sarawak