
KUALA LUMPUR — SMK Taman Yarl tampil mengeluarkan kenyataan rasmi bagi menjawab beberapa dakwaan yang tular di media sosial membabitkan seorang ibu, Puan Shahrina Abdul Hadi.
Menurut pihak sekolah, dakwaan yang tersebar didakwa telah menjejaskan nama baik sekolah, warga pendidik serta keseluruhan komuniti sekolah. Pihak sekolah turut memaklumkan bahawa laporan polis telah dibuat pada 27 Jun 2026 dan tindakan undang-undang akan diambil mengikut saluran yang diperuntukkan.
Kenyataan penuh pihak sekolah adalah seperti berikut:
MAKLUM BALAS BERKAITAN DAKWAAN SEORANG IBU BERNAMA PUAN SHAHRINA BINTI ABDUL HADI TERHADAP SMK TAMAN YARL, KUALA LUMPUR
SMK Taman Yarl ingin memberi penjelasan berhubung beberapa dakwaan yang telah tular di media sosial FB milik Pn Shahrina binti Abdul Hadi sehingga menjejaskan nama baik sekolah, warga pendidik serta keseluruhan komuniti sekolah SMK TAMAN YARL, KL.
Pihak sekolah memandang serius perkara ini dan telah membuat laporan polis pada 27 Jun 2026 sebagai langkah mengadu kepada Pihak Berkuasa bagi melindungi maruah sekolah dan guru, juga bagi menjaga kepercayaan dan motivasi murid sekolah kami untuk terus belajar dengan terpimpin dan berhemah.
Tindakan undang-undang akan diambil oleh pihak sekolah merujuk kepada bukti bergambar dan video yang telah dilakukan oleh Pn Shahrina binti Abdul Hadi. Jelasnya, ia akan mengikut saluran yang betul selari dengan peruntukan undang undang yang sedia ada di negara kita.
Penjelasan terhadap dakwaan yang dibangkitkan
1. Dakwaan bahawa ibu bapa telah dihalau oleh guru SMK Taman Yarl
Pihak sekolah menafikan dakwaan tersebut. Tiada arahan atau tindakan menghalau mana-mana ibu bapa daripada Majlis Anugerah Kecemerlangan. Majlis berlangsung dengan tertib sehingga selesai dan semua tetamu diraikan mengikut prosedur yang telah ditetapkan.
2. Dakwaan bahawa kerusi untuk tetamu tidak mencukupi
Rakaman video dan gambar sepanjang majlis menunjukkan pihak sekolah menyediakan 275 kerusi dan rekod kehadiran adalah seramai 203 dan masih terdapat lebih kerusi kosong yang disediakan untuk tetamu sehingga majlis berakhir. Dakwaan bahawa tiada kerusi disediakan adalah tidak selaras dengan keadaan sebenar di lokasi majlis.
3. Dakwaan bahawa pihak sekolah memalukan ibu bapa
Pihak sekolah sentiasa mengamalkan budaya hormat-menghormati serta mengutamakan layanan berhemah kepada semua ibu bapa dan penjaga. Sepanjang majlis berlangsung, pihak sekolah berusaha memastikan kelancaran program demi keselesaan semua tetamu, sehingga kebajikan makan minum turut telah diusahakan oleh pihak pentadbiran guru sekolah.
4. Dakwaan bahawa hanya seorang ibu atau bapa dibenarkan masuk mengiringi anak menerima anugerah
Pihak sekolah menafikan dakwaan tersebut. Segala urusan kehadiran tetamu dilaksanakan berdasarkan pengurusan majlis yang telah dimaklumkan lebih awal. Link kehadiran untuk diisi oleh ibubapa dan penjaga juga telah diberikan oleh guru kelas buat tindakan semua ibubapa dan penjaga melalui Whattapps Group mengikut kelas murid di sekolah. Jelasnya, dakwaan yang disebarkan tidak menggambarkan keadaan sebenar sepanjang program berlangsung.
Luahan hati warga SMK Taman Yarl
Warga SMK Taman Yarl amat sedih dan terkilan apabila usaha gigih yang dicurahkan selama berbulan-bulan bagi menjayakan Majlis Anugerah Kecemerlangan akhirnya dicemari oleh dakwaan ternyata tidak benar.
Ramai guru telah mengorbankan masa, tenaga dan komitmen demi memastikan setiap murid diraikan atas kejayaan mereka. Sebahagian warga pendidik turut berasa amat terkesan secara emosi apabila melihat nama baik sekolah serta profesion keguruan dipersoalkan di media sosial dan boleh merencatkan kemenjadian pengajaran guru dan sahsiah dalam kalangan murid.
Segala usaha yang dilakukan adalah demi memastikan setiap murid mendapat penghargaan dalam suasana yang teratur, selamat dan penuh bermakna.
Penutup
SMK Taman Yarl kekal komited untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada murid dan ibu bapa. Pada masa yang sama, pihak sekolah tidak akan berkompromi terhadap sebarang kenyataan yang didakwa mencemarkan nama baik sekolah atau menjejaskan maruah warga pendidik.
Pihak sekolah menyerahkan perkara ini kepada pihak berkuasa dan akan meneruskan tindakan mengikut lunas undang-undang yang berkuat kuasa.
– The Malaysian Update
The post SMK Taman Yarl Tampil Jelaskan Dakwaan Tular, Fail Laporan Polis Dan Ambil Tindakan Undang-Undang appeared first on The Malaysian Update.





