SMKA Jempol bakal jadi sekolah agama pertama gabung pendidikan TVET

LocalPolitics
25 Sep 2026 • 6:35 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: SMKA Jempol bakal jadi sekolah agama pertama gabung pendidikan TVET

PETALING JAYA – Pendidikan agama dan kemahiran teknikal bakal digabungkan menerusi pembangunan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Jempol, Negeri Sembilan yang dijangka menjadi SMKA pertama negara membawa model pendidikan agama dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, pendekatan itu membuka lebih banyak laluan kepada murid sekolah agama untuk menceburi bidang profesional dan teknikal tanpa mengetepikan penguasaan ilmu agama.

“Anak sekolah agama tidak semestinya hanya mempunyai satu jalan di hadapan mereka. Mereka boleh mendalami ilmu agama dan pada masa sama menguasai kemahiran teknikal.

“Mereka boleh menjadi jurutera, teknologis, usahawan atau memilih apa juga bidang yang sesuai dengan cita-cita mereka,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah SMKA Jempol, hari ini.

Menurut beliau, sekolah berkenaan dibangunkan dengan peruntukan RM98 juta di atas tapak seluas 14.22 hektar.

Katanya, SMKA Jempol akan dilengkapi 25 bilik darjah, makmal, bengkel, perpustakaan, dewan, surau serta asrama yang mampu menempatkan sehingga 720 murid.

Fadhlina berkata, pembangunan sekolah itu bukan sekadar penambahan institusi pendidikan baharu, sebaliknya membuka laluan kepada murid pendidikan agama untuk meneroka bidang teknologi dan kemahiran.

“Pendidikan agama tidak harus menjauhkan anak-anak daripada perubahan zaman. Ia harus menyediakan mereka untuk menghadapinya dengan ilmu dan nilai yang kukuh.

“Insya-Allah, dari Jempol kita mulakan langkah ini,” katanya.- KOSMO! ONLINE

The post SMKA Jempol bakal jadi sekolah agama pertama gabung pendidikan TVET appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved