Perkukuh pendidikan pelajar Orang Asli, Selangor pertimbang program tuisyen

25 Sep 2026 • 6:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Perkukuh pendidikan pelajar Orang Asli, Selangor pertimbang program tuisyen

SHAH ALAM, 25 SEPT: Kerajaan Negeri sedang meneliti pendekatan baharu bagi memperkukuh tahap pendidikan masyarakat Orang Asli, termasuk mempertimbang program tuisyen khas untuk pelajar komuniti tersebut.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pembangunan masyarakat Orang Asli perlu dilihat secara menyeluruh, bukan hanya dari aspek pendapatan dan pekerjaan, tetapi turut merangkumi pendidikan serta keyakinan untuk menjadi sebahagian daripada masyarakat Selangor.

“Mungkin di bawah lagi, kita boleh perkenalkan tuisyen khas Orang Asli dan sebagainya supaya taraf pendidikan mereka ini dapat dipertingkatkan, dikukuhkan dan diperkasakan,” katanya ketika Sesi Libat Urus Belanjawan Selangor 2027 di Selangor International Trade and Exhibition Centre (SITEC), di sini, hari ini.

Amirudin berkata pentadbiran negeri telah menyediakan sokongan pendidikan menerusi Biasiswa Sagong Tasi kepada pelajar Orang Asli, termasuk di peringkat sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi.

“Usaha ini akan terus diperkukuh bagi memastikan masyarakat Orang Asli mendapat akses kepada peluang pendidikan yang mampu meningkatkan keupayaan serta membuka ruang kepada masa depan lebih baik,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata pembangunan masyarakat Orang Asli tidak seharusnya dilihat daripada sudut keunikan komuniti itu semata-mata, sebaliknya perlu memastikan mereka turut menjadi sebahagian daripada masyarakat Selangor yang maju dan membangun.

“Cabaran kita adalah bagaimana menjayakan mereka sebagai sebahagian daripada kita, dengan keselesaan kita dan dalam masa yang sama dengan keyakinan mereka juga untuk turut serta,” katanya.

Beliau berkata perkara itu antara cabaran yang perlu diberi perhatian barisan EXCO pada 2027, termasuk mencari penyelesaian dan melaksanakan program yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat Orang Asli.

“Jadi, pendekatan kita bukan hanya meningkatkan pendapatan dan peluang pekerjaan, tetapi turut memastikan pendidikan serta penyertaan mereka dalam masyarakat dapat diperkukuh,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved