SMRT labur RM22.48 juta, ambil 37.5% kepentingan dalam Novus Technologies

LocalBusiness & Finance
9 Dec 2025 • 9:51 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

SMRT labur RM22.48 juta, ambil 37.5% kepentingan dalam Novus Technologies
image is not available
haziq09/12/2025 - 09:51 Oleh HAZIQ HAKIMI haziq@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 9 Dis – SMRT Holdings Bhd melabur AS$7.09 juta (RM22.48 juta) bagi memperoleh 1.69 juta saham, mewakili 37.5% kepentingan dalam Novus Technologies Pte Ltd (NTPL) yang berpangkalan di Singapura.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, SMRT berkata, penyedia penyelesaian Industrial Internet of Things (IIoT) itu berkata ia telah memeterai perjanjian jual beli bersyarat dengan Asia Fintech Ventures Group Pte Ltd, selaku pemegang saham tunggal NTPL, bagi melaksanakan urus niaga berkenaan.

 

NTPL terlibat dalam penyediaan infrastruktur digital dan penyelesaian teknologi pembayaran, dengan kepakaran dalam penempatan, penyewaan serta pengurusan infrastruktur transaksi layan diri dan peruncitan termasuk teknologi kewangan digital berkaitan seperti ejen perbankan dan sistem terminal tempat jualan (POS).

 

SMRT berkata, pengambilalihan tersebut merupakan sebahagian penting daripada strategi pengembangan portfolio IT dan penyelesaian digital kumpulan, selain menyokong pengukuhan prestasi kewangan jangka panjang. 

 

Urus niaga itu memberikan kumpulan akses segera kepada platform digital, teknologi teras serta pangkalan pelanggan serantau NTPL.

 

Menurut SMRT, kehadiran NTPL di Sri Lanka dan Filipina membuka laluan segera kepada pasaran baharu, manakala jejak operasinya di Malaysia serta rangkaian kerjasama serantau dijangka membantu NTPL meningkatkan skala penyelesaian yang ditawarkan.

 

SMRT turut menjangkakan sinergi bersama yang bermakna, melibatkan akses pelanggan yang saling melengkapi, keupayaan produk dan strategi pemasaran bersama, serta kerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D).

 

Kumpulan itu juga menjangkakan asas hasil berulang akan bertambah kukuh, sekali gus menyokong pelan pengembangan serantau. 

 

Teknologi pemantauan armada serta POS proprietari NTPL yang direka untuk persekitaran sambungan rendah dan operasi last-mile turut melengkapi fokus SMRT terhadap perkhidmatan Internet of Things terurus yang berdaya tahan.

 

Pengambilalihan tersebut akan dibiayai menggunakan dana dalaman SMRT dan dijangka selesai pada suku keempat 2025. - DagangNews.com

Terkini standard