
SNBJ Kini Dikenali Sebagai TM Stadium Nasional, Stadium Putra Jadi Unifi Arena
Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) mengumumkan Stadium Nasional Bukit Jalil dan Stadium Putra masing-masing dijenamakan semula sebagai TM Stadium Nasional dan Unifi Arena berkuat kuasa 6 Mac lalu.
Ia merupakan kerjasama hak penamaan PSM bersama Telekom Malaysia Berhad (TM) bagi kedua-dua stadium tersebut.
PSM menerusi satu kenyataan berkata bahawa kerjasama tersebut adalah untuk tempoh tiga tahun dan merupakan satu langkah penting untuk memastikan dua venue utama negara terus kekal relevan, selesa dan berdaya saing sebagai lokasi penganjuran acara sukan serta hiburan bertaraf antarabangsa.
"Sebagai venue sukan dan hiburan terbesar negara, Stadium Nasional dan Stadium Putra bukan sekadar tempat berlangsungnya acara. Kedua-dua stadium ini merupakan lokasi di mana detik bersejarah tercipta, semangat kebangsaan diperkukuh dan jutaan rakyat Malaysia berkumpul sebagai satu bangsa," katanya.
"Sebagai pengurus Stadium Nasional dan Stadium Putra, kami komited memastikan kemudahan ini sentiasa berada pada tahap terbaik untuk rakyat Malaysia.
"Kerjasama hak penamaan ini merupakan satu inisiatif oleh PSM untuk memperkukuh kelestarian dan pembangunan jangka panjang venue-venue ini," katanya.
Tambah PSM lagi, hasil daripada kerjasama ini akan disalurkan kepada usaha menaik taraf serta menambah baik kemudahan stadium bagi memberikan pengalaman yang lebih baik kepada para pengunjung.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Telekom Malaysia Berhad, Amar Huzaimi Md Deris berkata TM berbesar hati diberikan kepercayaan untuk memegang hak penamaan bagi kedua-dua venue itu.
"Selama lapan dekad, TM memainkan peranan penting dalam menghubungkan rakyat Malaysia merentasi generasi.
"Kami berbesar hati diberi kepercayaan untuk memegang hak penamaan bagi venue nasional yang begitu ikonik ini dan amat menghargai kepercayaan yang diberikan kepada kami.
"Stadium Nasional dan Stadium Putra sekian lama menjadi tempat rakyat Malaysia berkumpul untuk memberi sokongan, meraikan kejayaan dan menyaksikan detik bersejarah.
"Melalui kerjasama ini, kami berharap dapat terus memperkukuh kedua-dua stadium ini agar ia kekal menjadi tempat yang menyatukan masyarakat dan menyemarakkan kebanggaan negara untuk generasi akan datang," katanya.


