
Semalam merupakan hari yang cukup istimewa buat penyanyi dan komposer, Hanie Soraya yang juga bekas peserta Big Stage Musim 3 kerana ia merupakan hari ulang tahun kelahirannya yang ke-29.
Namun, pada hari semalam juga, dia telah menerima kejutan yang benar-benar tidak dijangka, yang mungkin tidak akan dilupakannya sampai bila-bila pun. Satu kejutan yang akan mengubah kitaran fasa hidupnya sebagai wanita.
Sewaktu menyambut hari ulang tahun kelahirannya di sebuah restoran bersama kekasihnya, Omar Saifuddin dan rakan-rakan mereka yang lain, Hanie telah menerima sebuah hadiah dan sewaktu cuba membuka hadiah tersebut, tiba-tiba Omar melutut di hadapannya untuk melamarnya.
Hanie yang terkenal dengan lagu 'Hujung Dunia' dan 'Rasa Sayang' tidak dapat menyembunyikan emosi dan perasaan terkejut yang bercampur dengan terharu dan gembira dengan lamaran kekasihnya yang juga seorang pemuzik.
Dia juga tidak mengambil masa yang lama untuk mengatakan: Yes, untuk menjawab lamaran Omar.
Tak semua lelaki punya keberanian untuk melamar gadis yang mereka cintai kecuali jika gadis itu adalah segala-galanya buat diri mereka. Sangat sweet sekali, cara Omar melamar Hanie, apatah lagi bila ia dilakukan di sebuah restoran yang menjadi tempat pertemuan mereka buat kali pertama.
Tulis Omar di dalam media sosial mereka bersama: “Pada tarikh ini, setahun yang lalu, pada hari lahirnya, membawanya ke tempat yang pertama kali kami temui, makan malam dan kek hari jadi, mengejutkannya dengan hadiah, saya juga membuatnya berkata ‘ya’ di hadapan rakan rapat kami. Ia berjaya. Tetapi membuatnya memakai scrub itu masih tidak berjaya. Ia masih dalam progress”.
Namun, lucu juga apabila melihat Hanie berada dalam keadaan tidak tentu arah untuk memeluk Omar selepas menerima lamarannya itu, sehingga dia tidak sedar hadiah yang cuba diletakkannya di sebelahnya itu terjatuh ke bawah.
Nampaknya, pasangan ini akan menjadi pasangan selebriti yang akan mendirikan rumah tangga pada tahun ini. Apapun, kita tunggu sahajalah pengumuman daripada mereka.
Selamat Ulang Tahun Kelahiran Yang ke-29 buat Hanie Soraya dan tahniah juga kerana bakal menamatkan status single dengan Omar. – Getaran, 17 Januari 2023


