
KUALA LUMPUR: Pelakon Mierul Aiman mengakui pihak pengurusan memainkan peranan penting dalam menguruskan kerjaya, termasuk soal bayaran dan urusan perniagaan sebagai anak seni.
Mierul atau nama sebenarnya, Muhammad Amirul Aiman Norazman, 27, berkata, dia bersyukur mempunyai pihak pengurusan yang bertanggungjawab mengendalikan urusan berkaitan kerjayanya.
Menurutnya, pihak pengurusan bukan sahaja menguruskan soal bayaran, malah bertindak sebagai orang tengah dalam merancang strategi pemasaran bagi mengembangkan kerjayanya.
“Saya percaya pihak pengurusan merupakan struktur penting dalam bisnes hiburan ini.
“Saya ada pengurusan yang menguruskan bahagian-bahagian perniagaan termasuk bayaran, selain membantu menjadi orang tengah dalam strategi pemasaran.
“Jadi, saya hanya perlu fokus untuk bekerja (berlakon) dan terus berkarya,” katanya.
Mierul berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia pada tayangan perdana episod pertama drama Kudrat 1968 di TGV KLCC, di sini, semalam.
Dalam pada itu, Mierul berkata, dia lebih selesa memberi tumpuan kepada tanggungjawabnya sebagai pelakon daripada memikirkan soal kadar bayaran.
“Saya rasa lebih baik pihak pengurusan yang berbincang mengenai bayaran kerana saya hanya menjalankan tanggungjawab sebagai anak seni.
“Saya lebih memberi keutamaan kepada lakonan dan kempen penjenamaan. Selebihnya, saya serahkan kepada pihak pengurusan,” katanya.
Ditanya sama ada dia menyerahkan sepenuhnya kepada pihak pengurusan untuk menentukan jumlah bayaran, Mierul menjelaskan perkara itu tetap diputuskan menerusi perbincangan bersama.
Katanya, setiap keputusan perlu mengambil kira kepentingan kedua-dua pihak dan dipersetujui tanpa melibatkan soal peribadi.
“Saya serahkan segala perbincangan dan satu kata putus menentukan segalanya (jumlah bayaran).
“Bagaimanapun, saya percaya semua perbincangan itu akan dipersetujui kedua-dua belah pihak tanpa melibatkan isu peribadi,” katanya.
Sebelum ini, pelakon Nam Ron berkongsi mengenai dakwaan seorang pelakon baharu meminta bayaran RM100,000 untuk terlibat dalam sebuah filem.
Menurut Nam Ron, agak sukar bagi pelakon menerima bayaran setinggi itu untuk penglibatan pertama dalam filem walaupun mempunyai pengalaman berlakon dalam drama.
The post Soal bayaran, Mierul Aiman beri kepercayaan pada pengurusan appeared first on Utusan Malaysia.


