Soalan jawab lisan lebih 40 perkataan akan dipendekkan: Speaker

LocalPolitics
20 Feb 2023 • 1:28 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Mana-mana soalan bagi sesi soal jawab lisan yang melebihi 40 patah perkataan akan dipendekkan bermula sesi hadapan, Dewan Rakyat hari ini diberitahu.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul (gambar) ketika memaklumkan perkara itu berkata hal berkenaan juga akan mengambil kira sistem penghantaran soalan yang digunakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) lain termasuk Kedah.

“Insya-Allah kita akan pinjam pandangan daripada negeri lain seperti Kedah. Mereka ada satu sistem untuk Ahli (Ahli Dewan Undangan Negeri) hantar soalan dia. Kalau lebih daripada patah perkataan maksimum yang ditetapkan, soalan itu akan (perlu) dipendekkan,“ katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab perkara dibangkitkan oleh Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang merujuk kepada soalan dikemukakan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) hari ini yang didakwanya melebihi 40 patah perkataan.

Khoo merujuk kepada Peraturan Mesyuarat 23 (1)(r) yang menyebut sesuatu pertanyaan untuk jawab lisan tidak boleh melebih 40 perkataan tanpa mengambil kira nama dan kawasan ahli yang bertanya serta menteri yang bertanggungjawab.

Shahidan sebelum itu bertanyakan sejauh mana Akta Hasutan 1948, Akta Rahsia Rasmi 1972 serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bertindak sebagai pengawal kepada kebebasan media yang tiada had sempadan penyebaran.

Ahli Parlimen Arau itu juga mahukan penjelasan daripada Menteri Komunikasi dan Digital sama ada kementerian berhasrat mengkaji semula akta berkaitan kebebasan media bagi menangani masalah pemberita tidak beretika dan tidak jujur. -Bernama