
PENANTIAN 13 tahun skuad hoki remaja lelaki negara untuk kembali beraksi di pentas final Piala Sultan Johor (SOJC) berakhir apabila Young Tigers mengesahkan kemaraan ke perlawanan penentuan kejuaraan edisi ke-14, kelmarin.
Kejayaan itu hadir selepas skuad kendalian Nor Saiful Zaini Nasiruddin menewaskan Pakistan 3-2 dalam aksi mendebarkan di Stadium Hoki Taman Daya, sekali gus mengulangi pencapaian terakhir mereka melangkah ke final kejohanan antarabangsa bawah 21 tahun itu pada 2013.
Ketua jurulatihnya, Nor Saiful Zaini Nasiruddin menyifatkan kemenangan tersebut sebagai pengalaman berharga buat pemain muda, terutama dalam menguruskan keletihan selepas beraksi pada hari sebelumnya serta menghadapi tekanan ketika ketinggalan dalam perlawanan.
Katanya, Young Tigers memiliki beberapa peluang pada dua separuh masa pertama, namun gagal memanfaatkannya sepenuhnya sebelum Pakistan bangkit mendahului 2-1 pada suku ketiga, sekali gus memaksa Malaysia meningkatkan asakan untuk mencari gol penyamaan.
“Dalam dua kuartet pertama, kita ada banyak peluang, tetapi tidak berjaya menjaringkan gol. Apabila mereka mendahului 2-1, kita cuba meningkatkan asakan untuk mendapatkan gol penyamaan.
“Perlawanan hari ini agak dramatik dan penghujung permainan sedikit memihak kepada kita apabila mereka hanya mempunyai lapan pemain, manakala kita ada 11 pemain di atas padang,” katanya.
Peluang itu dimanfaatkan Young Tigers apabila Muhammad Safwan Salihe menyamakan kedudukan pada minit ke-55 sebelum Naaveennash Paniker menjaringkan gol kemenangan dua minit kemudian untuk melengkapkan kebangkitan dramatik negara.
Dalam pada itu, Saiful menjelaskan pengurusan tahap kecergasan pemain menjadi keutamaan menjelang aksi terakhir liga sepusingan menentang Kanada, memandangkan pasukan perlu mengharungi jadual perlawanan berturut-turut sebelum final pada Sabtu.
Young Tigers kini menantikan lawan di final yang akan ditentukan menerusi pertembungan Pakistan dengan Jepun, dengan peluang menamatkan penantian 13 tahun itu membuka ruang buat skuad remaja negara memburu gelaran juara kali kedua selepas melakukannya pada edisi 2011.
The post SOJC: Young Tigers akhiri penantian appeared first on Kosmo Online.





