Sokong Bubar DUN Negeri Sembilan, PRN Johor Mungkin Dalam Masa Terdekat - Tok Mat

LocalPolitics
22 May 2026 • 2:47 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Sokong Bubar DUN Negeri Sembilan, PRN Johor Mungkin Dalam Masa Terdekat - Tok Mat

KUALA LUMPUR - UMNO dan Barisan Nasional (BN) sudah bersedia menghadapi kemungkinan untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan lebih awal.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, beliau optimis Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, akan menasihati Sultan Johor supaya membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada masa yang sesuai.

Menurut beliau, kuasa untuk membubarkan DUN terletak sepenuhnya di bawah bidang kuasa Sultan Johor, Sultan Ibrahim, atas nasihat Menteri Besar. 

“Pembubaran DUN adalah hak mutlak Sultan atas nasihat Menteri Besar. Saya yakin beliau akan menasihati Tuanku mengenai masa paling sesuai untuk DUN dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan.

“Ia boleh berlaku dalam masa terdekat atau mungkin juga lebih lewat. Semuanya bergantung kepada kebijaksanaan dan pertimbangan Tuanku,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Olahraga SMK Seri Sendayan di Seremban, hari ini.

Mengulas spekulasi berhubung kemungkinan PRN Johor, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tok Mat berkata, perkara tersebut masih belum dibincangkan secara rasmi di peringkat tertinggi kepimpinan parti.

Beliau berkata, sebaik sahaja mendapat perkenan diraja, Menteri Besar Johor dijangka mengadakan perbincangan dengan kepimpinan pusat parti bagi menyelaras gerak kerja serta persiapan menghadapi pilihan raya.

“Saya yakin apabila Menteri Besar mendapat lampu hijau atau perkenan diraja, beliau akan berbincang dengan kepimpinan pusat supaya segala persiapan dan perancangan pilihan raya dapat dilaksanakan secara bersama,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohamad turut menyentuh kemelut politik yang semakin memuncak di Negeri Sembilan dan menegaskan, langkah paling demokratik serta stabil ialah membubarkan DUN negeri bagi mengembalikan mandat kepada rakyat.

Ahli Parlimen Rembau itu mendakwa, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun tidak lagi mendapat sokongan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO.

“Jika Aminuddin sudah tidak mendapat kepercayaan majoriti ADUN, maka langkah terbaik ialah membubarkan DUN dan mengembalikan mandat kepada rakyat supaya mereka dapat menentukan siapa yang layak mentadbir Negeri Sembilan.

“Tidak perlu ada kebisingan politik dan ketidakstabilan berterusan kerana ia hanya menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat. Dunia ketika ini pun sudah berdepan pelbagai konflik dan peperangan, jadi perkara ini perlu diuruskan dengan baik,” katanya.

Mohamad turut menegaskan, penyertaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan adalah bagi memastikan kestabilan politik negara serta menjamin tadbir urus yang bertanggungjawab.

“Kami tidak berhasrat mahu mencetuskan ketidaktentuan politik atau keresahan rakyat,” katanya. - Getaran, 22 Mei 2026