Sokongan Korporat Penting Perluas Peluang Pendidikan Anak Yatim Sarawak

LocalBusiness & Finance
1 Nov 2026 • 8:11 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Sokongan Korporat Penting Perluas Peluang Pendidikan Anak Yatim Sarawak

KUCHING - Kerjasama lebih erat antara sektor korporat dan organisasi kebajikan penting dalam memperluas peluang pendidikan serta meningkatkan prospek masa depan golongan kurang bernasib baik, khususnya anak-anak yatim di Sarawak.

Seiring usaha itu, VFive Group Sdn. Bhd. menyalurkan sumbangan kepada Lembaga Kebajikan Anak-Anak Yatim Sarawak (PERYATIM) bagi menyokong usaha berterusan badan berkenaan dalam menyediakan kebajikan, pendidikan dan peluang pembangunan yang lebih baik kepada anak-anak di bawah jagaannya.

Sumbangan itu disalurkan bersempena Majlis Jamuan Amal Makan Malam anjuran AD Interact International Sdn. Bhd. dengan kerjasama PERYATIM yang berlangsung di Hotel Sheraton, Kuching pada Jumaat.

Majlis berkenaan yang dihadiri Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menghimpunkan wakil sektor korporat, penaja serta penyumbang bagi mengumpul dana untuk menyokong pelaksanaan program kebajikan dan pendidikan PERYATIM. Acara itu turut diserikan dengan persembahan khas penyanyi Amir Masdi.

Pengarah Urusan Kumpulan VFive Group, Datuk Mohd Syafiq Abdullah berkata, penyertaan syarikat dalam inisiatif berkenaan mencerminkan kepercayaan bahawa kejayaan sesebuah perniagaan perlu melangkaui pencapaian kewangan dan turut diterjemahkan kepada sumbangan bermakna kepada masyarakat.

Katanya, prinsip berkongsi rezeki dan mencari keberkatan melalui amalan memberi kekal menjadi antara nilai teras yang membimbing VFive Group sejak penubuhannya.

“Di VFive Group, kami percaya bahawa kejayaan sesebuah perniagaan bukan hanya diukur melalui keuntungan dan pencapaian korporat semata-mata, tetapi juga sejauh mana kejayaan tersebut dapat dikongsi untuk membantu meningkatkan kesejahteraan masyarakat.

“Kami berharap sumbangan ini dapat menyokong usaha PERYATIM dalam menyediakan peluang pendidikan dan membina masa depan yang lebih baik buat anak-anak yatim di bawah jagaannya,” katanya.

Mohd Syafiq berkata, pelaburan dalam bidang pendidikan dan pembangunan modal insan amat penting bagi memastikan anak-anak daripada keluarga kurang berkemampuan turut mendapat akses kepada peluang untuk mengembangkan potensi diri.

Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama lebih erat antara pelbagai pihak, khususnya organisasi korporat, dalam memperluas sokongan terhadap inisiatif kebajikan serta memperkasa golongan yang memerlukan.

Selain penglibatan dalam majlis berkenaan, VFive Group menerusi Yayasan VFive turut aktif melaksanakan pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang merangkumi bantuan kebajikan, sokongan pendidikan dan pembangunan komuniti.

Usaha itu merupakan sebahagian daripada komitmen lebih luas kumpulan berkenaan untuk memastikan kejayaan dan sumber korporat dapat dimanfaatkan bagi membawa impak positif kepada masyarakat. - Getaran, 1 November 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved