
SHAH ALAM – Salam Shah Alam Specialist Hospital (SSASH) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Mahsa University bagi memperkukuh hubungan strategik antara institusi pendidikan tinggi dan penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan.
MoU itu menjadi langkah penting dalam usaha kedua-dua institusi meneroka peluang kerjasama yang berpotensi memberi manfaat kepada bidang pendidikan, pembangunan profesional serta sektor kesihatan.
Kerjasama berkenaan turut membuka ruang kepada kedua-dua pihak untuk berkongsi kepakaran, membina jaringan profesional dan meneroka pelbagai bentuk kolaborasi yang bersesuaian dengan matlamat serta kemampuan masing-masing.
Ketua Pegawai Eksekutif SSASH, Akim Affandi Ahmad berkata, kerjasama itu merupakan satu langkah positif dalam membina jaringan kerjasama yang kukuh dan membuka ruang kepada pelbagai peluang yang memberi manfaat kepada kedua-dua institusi.
“Kerjasama tersebut diharap menjadi asas kepada hubungan jangka panjang yang produktif dan saling menguntungkan, selain menyokong usaha berterusan dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan serta pembangunan sektor penjagaan kesihatan,” katanya.
Pada majlis MoU itu, Kumpulan Mahsa diwakili Pengarah Urusannya, Profesor Datuk Dr. Shahril Mohamed Haniffa.
Mahsa University yang merupakan sebuah institusi pendidikan tinggi dilihat sebagai rakan kolaborasi berpotensi dalam memperkukuh hubungan antara dunia akademik dengan industri kesihatan.
Sebagai rekod, SSASH merupakan hospital pakar swasta milik Bumiputera di bawah pengurusan Salam Group of Hospitals yang ditubuhkan pada 2003.
Hospital itu menawarkan perkhidmatan penjagaan kesihatan multidisiplin dengan penekanan terhadap penyampaian perkhidmatan berkualiti, mampu milik dan berfokuskan pesakit.
Ia turut memiliki akreditasi pensijilan Sistem Pengurusan Kualiti ISO 9001:2015 daripada Sirim sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh mutu perkhidmatan dan keyakinan masyarakat terhadap hospital berkenaan.
The post MoU Salam Shah Alam, Mahsa perkukuh kerjasama appeared first on Kosmo Online.





