
PASIR SALAK: Ketua Pemuda UMNO mendakwa kerjasama strategik melibatkan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) membuahkan hasil apabila berjaya menarik kembali sokongan majoriti pengundi Melayu serta sebahagian pengundi Cina dan India.
Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, kejayaan besar pakatan tersebut dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan semalam membuktikan kerjasama itu semakin diterima rakyat dan diyakini akan berterusan sehingga Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).
“Insya-Allah gelombang ini akan diteruskan ke Melaka dan ke Putrajaya tidak lama lagi. Ini menunjukkan penyatuan UMNO (BN) dan PAS (PN) bukan hanya penyatuan orang Melayu.
“Tetapi, ini menunjukkan penyatuan rakyat termasuk kaum India dan Cina. Contohnya, kita boleh lihat bagaimana kita menang di kerusi-kerusi yang sebelum ini merupakan kubu kuat DAP,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, beliau menyertai Program Konvoi Bersama YB Datuk Dr. Akmal Saleh di Kedai Nasi Lemak Bawah Rumah di sini bersama kira-kira 50 buah motosikal pelbagai jenis.
Beliau mendakwa, peralihan sokongan pengundi Melayu secara signifikan selain peningkatan undi kaum Cina dan India berlaku kerana mereka berasa tertipu dengan agenda reformasi yang dijanjikan, namun tidak ditunaikan.
“Jika kamu tidak buat seperti apa yang disembangkan ketika menjadi pembangkang, hari ini rakyat boleh tukar bila-bila masa.
“Ini menjadi satu pengajaran untuk kita juga. Walaupun menang, wakil rakyat mesti terus bekerja dan melaksanakan janji. Jangan tipu rakyat,” katanya.
Mengulas mengenai kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan, Muhamad Akmal berkata, ia akan diteruskan sehingga PRU-16.
“Kita tak nak tebuk atap. Serahkan semula mandat itu kepada rakyat, jadi itu terpulang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kalau Perdana Menteri rasakan bila sesuai, kita serahkan,” katanya. – UTUSAN
The post Sokongan Melayu, Cina dan India mula beralih kepada pakatan BN-PN appeared first on Utusan Malaysia.






