
TEMERLOH: Dakwaan Barisan Nasional (BN) menggunakan sentimen perkauman dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan terbukti tidak berasas apabila rakyat tetap memberikan sokongan kepada calon pelbagai kaum yang bertanding atas tiket gabungan tersebut.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kemenangan calon MCA di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah yang mempunyai majoriti pengundi Melayu menjadi bukti rakyat menolak politik berasaskan perkauman.
Menurut Menteri Besar itu, sekiranya BN memainkan isu perkauman seperti yang didakwa pihak lawan, calon MCA di kawasan berkenaan tidak mungkin memperoleh kemenangan.
“Kalau kita lihat di DUN Chennah, calon MCA bertanding di kawasan majoriti pengundi Melayu, namun pengundi Melayu tetap memberikan sokongan kepada calon MCA.
“Ini membuktikan kita tidak rasis dan tidak memainkan isu perkauman. Jika kita memainkan isu perkauman, calon MCA di DUN Chennah tidak mungkin memperoleh kemenangan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Apresiasi Pahang First Himpunan 1,000 Pendekar Silat Berbusana dan Berbudaya Daerah Temerloh di sini hari ini.
Mengulas kemungkinan kerjasama politik antara BN dan Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya akan datang, Wan Rosdy berkata, perkara itu masih belum dibincangkan bagi negeri lain termasuk Pahang.
Katanya, sebarang bentuk kerjasama akan dilihat secara berperingkat mengikut kesesuaian sebelum diputuskan oleh pucuk pimpinan parti.
“Setakat ini kita selesaikan dahulu Negeri Sembilan. Selepas itu mungkin Melaka. Kita akan melihat perkara ini secara case-by-case dan menyerahkan kepada pucuk pimpinan untuk membuat keputusan,” katanya.
Beliau berharap keputusan PRN Negeri Sembilan menjadi pemangkin kepada BN untuk terus memperkukuhkan sokongan rakyat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16). – UTUSAN
The post Kemenangan BN pada PRN Negeri Sembilan bukti rakyat tolak politik perkauman – Wan Rosdy appeared first on Utusan Malaysia.






