Solarvest diramal kukuhkan kedudukan sebagai proksi utama peralihan RE di Malaysia - Maybank IB

21/08/2025 - 10:05
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 21 Ogos - Solarvest Holdings Berhad diramal terus mengukuhkan kedudukannya sebagai proksi utama peralihan tenaga boleh diperbaharui (RE) di Malaysia didorong pertumbuhan berasaskan aset dan unjuran pendapatan yang kukuh bagi jangka panjang.
Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, keputusan kewangan 1QFY26 Solarvest adalah selari dengan jangkaan, mencatatkan 21% daripada unjuran setahun penuh oleh penganalisis.
Katanya, pendapatan melonjak 90% tahun ke tahun kepada RM137.7 juta, manakala keuntungan bersih teras berganda kepada RM15.9 juta, didorong oleh pelaksanaan pantas projek di bawah Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP).
Walaupun terdapat penurunan suku ke suku akibat masa pengebilan dan kelewatan permulaan projek baharu, Solarvest kekal kukuh dengan buku pesanan belum dibil sebanyak RM1.18 bilion, menjamin kestabilan pendapatan sehingga tahun kewangan 2028 (FY28).
"Pengembangan strategik kumpulan dipacu projek solar 60MW di bawah LSS5, pegangan 30% dalam SIW Manufacturing dan Kee Ming Electrical, serta projek solar 30MW di Brunei.
"Langkah ini memperluas kedudukan Solarvest melebihi aktiviti terasnya dalam EPCC (kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan), dan kini merangkumi pemilikan aset, pengembangan serantau dan pembuatan komponen solar.
"Kepelbagaian ini dijangka dapat meningkatkan aliran pendapatan berulang dan mengurangkan kebergantungan kepada projek domestik semata-mata," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, Solarvest berada dalam posisi strategik untuk meraih manfaat daripada agenda RE negara, di mana kerajaan menyasarkan 70% tenaga boleh diperbaharui dalam campuran tenaga nasional menjelang 2050. Inisiatif seperti LSS5/LSS5+ (kuota 4GW) dan program BESS (400MW/1,600MWh menjelang 2027) dijangka menjadi pemacu pertumbuhan jangka panjang industri.
Walaupun sektor ini berdepan cabaran jangka pendek seperti kenaikan kos modul solar akibat dasar anti-involusi China dan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), keperlabagaian dan pengurusan kos kumpulan dijangka dapat mengurangkan risiko operasi.
"Solarvest kekal sebagai pilihan utama pelabur yang ingin mendapatkan pendedahan kepada transformasi tenaga Malaysia. Keupayaan menyeluruhnya dalam rantaian nilai RE menjadikannya proksi sektor yang kukuh untuk masa depan tenaga mampan negara.
"Kami mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM2.64 sesaham," katanya. - DagangNews.com
standard
